Sistem pemisahan di peringkat sekolah punca wujud jurang nilai

Dr Muhamad Akmal
Dr Muhamad Akmal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa sistem pemisahan dan pengasingan yang dilaksanakan bermula di peringkat sekolah menyebabkan wujud jurang nilai dan persefahaman dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara.

“Pemuda UMNO Malaysia melihat dengan penuh khuatir akan perkembangan polemik demi polemik mutakhir ini telah menambah api perpecahan yang sedang marak.

“Sesungguhnya, segala apa yang terjadi ini adalah suatu cerminan betapa setelah hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud suatu jurang nilai dan pemisahan persefahaman antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru, Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa Pemuda UMNO mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan beberapa langkah interim untuk membolehkan negara meneroka wawasan baharu seperti penilaian menyeluruh terhadap pendidikan.

Menurutnya, kini ekosistem pendidikan vernakular merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kedua, kerajaan juga perlu mengadakan kajian menyeluruh berhubung ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

“Seterusnya, peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai (common values) dan semangat kekitaan (sense of belonging) dalam kalangan rakyat berbilang bangsa tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia untuk memelihara warisan bahasa ibunda masing-masing,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dr Muhamad Akmal memberitahu, tiada jalan pintas ke arah mencapai perpaduan kerana ia merupakan suatu perjalanan panjang, berliku dan mencabar.

Katanya, perpaduan rakyat Malaysia harus bermula daripada pendidikan.

“Ini masanya untuk menyatukan, bukan memisahkan,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28