KPKM hasrat perluas produk makanan halal ke negara CIS

Mohamad (dua dari kanan) ketika merasmikan Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (SIFEX) di SICC, Kota Kinabalu.
Mohamad (dua dari kanan) ketika merasmikan Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (SIFEX) di SICC, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat untuk memperluaskan produk makanan halal ke Negara Bebas Komanwel (CIS) bagi meningkatkan lagi jumlah eksport negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, negara ketika ini lebih banyak mengimport makanan dari luar berbanding mengeksport keluar makanan ke negara lain.

"Kita import barang makanan lebih kurang 70 bilion ketika ini sedangkan kita eksport sekitar 40 bilion, jauh lagi jurangnya.

"Kalau pergi ke CIS, kita lihat barang-barang dari Malaysia amat kurang, belum lagi mencecah pasaran di sana sedangkan nama Malaysia dalam bidang halal terkenal di seluruh dunia.

"Sijil halal Malaysia dalam tempat tertinggi bagi negara Islam di seluruh dunia. Jadi kita kena lebih proaktif untuk berusaha memasarkan barangan kita terutama makanan kepada kepada negara yang kita terokai dan diusahakan secara serius seperti negara CIS tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ekspo Makanan Antarabangsa Sabah (SIFEX) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau berkata, sudah menjadi hasrat KPKM untuk melihat produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa.

"Setakat ini dari segi eksport produk makanan proses telah berjaya di lebih 150 negara yang mencakupi 1.8 bilion umat Islam global.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tidak mustahil satu hari nanti produk tempatan berstatus halal Malaysia bukan sahaja hanya tertumpu di negara majoriti Islam malah turut menjadi produk pilihan dan mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh pelusuk dunia," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28