Jambatan sungai peranginan Oriental Village, Langkawi dibuka

Alexander
Alexander
A
A
A

ALOR SETAR - Jambatan Sungai Peranginan Oriental Village di Langkawi yang dibina bagi mengatasi masalah kesesakan telah mula dibuka kepada pengguna jalan raya, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Nanta berkata, beliau berpuas hati dengan keadaan jalan raya dan jambatan baharu yang dibina dan penyerahan secara rasmi akan diadakan esok.

"Pada Mei 2023, saya pernah turun ke lokasi dan meninjau pembinaan yang diluluskan dalam senarai Projek Rolling Plan 4, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). Hal ini berikutan masalah kesesakan teruk di laluan itu pada waktu puncak yang menyebabkan kerosakan fizikal yang teruk di jalan berkenaan.

"Pembinaan jambatan sepanjang 25 meter dengan kelebaran 12.5 meter itu melibatkan kos sebanyak RM7.8 juta dan kerja-kerja yang dilaksanakan termasuk menaik taraf Jalan Tuju, kerja-kerja geoteknikal (tembok penahan), menaik taraf dan membina sistem saliran, pemasangan lampu dan perabot jalan serta pengalihan utiliti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, projek itu penting bagi menghubungkan laluan utama ke kereta kabel Langkawi dan Hotel Berjaya yang menjadi tumpuan penduduk setempat dan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Selain dapat menyuraikan trafik dan memperbaik semula jalan yang rosak demi keselesaan dan keselamatan pengguna jalan raya, tentunya laluan dan jambatan baharu ini akan menggalakkan lagi aktiviti pelancongan untuk terus berkembang dan membantu ekonomi setempat," katanya.

Selain itu, Nanta berkata, beliau turut meninjau perkembangan kerja-kerja pembinaan bangunan tambahan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi terletak di dalam tapak hospital itu yang telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ketiga, RMK11 dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM425 juta.

Beliau berkata projek yang dijangka siap pada 26 Dis tahun depan itu bertujuan menjadikan perkhidmatan penjagaan pakar lebih mudah diakses kepada penduduk serta pelancong di Langkawi yang semakin bertambah.

Artikel Berkaitan:

"Penambahan sebanyak 220 katil baharu menjadikan jumlah keseluruhan kepada 330 katil di hospital itu dilihat mampu menampung keperluan penduduk terhadap akses perubatan dan rawatan,” katanya. - Bernama