WTO perlu lebih progresif hadapi cabaran global

MC13 yang merupakan acara dwitahunan berlangsung dari 26 Februari hingga 2 Mac lalu di UAE.
MC13 yang merupakan acara dwitahunan berlangsung dari 26 Februari hingga 2 Mac lalu di UAE.
A
A
A

BARU-baru ini saya mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) ke-13 (MC13), acara dwitahunan yang berlangsung dari 26 hingga 2 Mac 2024 di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

MC13 yang menghimpunkan hampir 4,000 pegawai dan peserta daripada 164 anggota WTO adalah produktif dan amat berhasil untuk Malaysia dalam beberapa aspek.

Salah satunya ialah ‘Deklarasi Menteri-Menteri’ Abu Dhabi yang akan membantu pertumbuhan ekonomi digital kita dengan meneruskan moratorium sedia ada terhadap pengenaan duti kastam ke atas penghantaran elektronik selama dua tahun (iaitu pada dasarnya sehingga mesyuarat WTO seterusnya, MC14).

Memanjangkan moratorium e-dagang akan memudahkan Malaysia menarik pelaburan dalam aktiviti pemprosesan data, pembuatan semikonduktor termaju dan pembangunan perisian.

WTO juga komited untuk terus mengusahakan mekanisme semakan rayuan Penambahbaikan Penyelesaian Pertikaian menjelang 2024. Ini amat diperlukan untuk melindungi pengeksport Malaysia dengan memastikan sistem perdagangan pelbagai hala adalah berasaskan peraturan yang adil dan berkesan, yang berlandaskan ketelusan, kesaksamaan dan kestabilan di peringkat global.

Malaysia, bersama 123 ahli WTO lain, juga sebulat suara menerima pakai Perjanjian Kemudahan Pelaburan untuk Pembangunan (IFD) yang akan membantu mewujudkan persekitaran pelaburan kondusif dengan meningkatkan ketelusan dasar dan memperkemas prosedur pentadbiran.

Saya juga diberi penghormatan untuk menyerahkan Instrumen Penerimaan Malaysia (IoA) untuk Perjanjian Subsidi Perikanan (FSA) di MC13. Sehingga kini, 71 negara telah menerima FSA selepas persetujuan sebulat suara semasa MC12 2022.

Persetujuan ini menekankan komitmen Malaysia terhadap amalan penangkapan ikan yang mampan pada skala global.MC13 juga menyaksikan perbincangan hangat dalam pelbagai topik, sehingga rundingan perlu dilanjutkan, tidak ubah seperti masa kecederaan semasa perlawanan bola sepak.

Walaupun terdapat pelbagai analisis yang mempersoal kejayaan MC13, saya tidak akan melabelkan MC13 sebagai usaha yang gagal kerana memang ada keputusan yang memanfaatkan Malaysia.

Tetapi hakikatnya, ada ruang untuk penambahbaikan bagi MC13 dan WTO. Contohnya, isu-isu lama masih tidak menampakkan kemajuan seperti Program Kerja mengenai e-dagang dan rundingan pertanian yang menghadapi jalan buntu. Kebuntuan berterusan ini melewatkan proses pembaharuan.

Memuktamadkan rundingan pertanian akan memastikan persaingan lebih adil dan memudahkan akses yang saksama kepada peluang perdagangan. Ini tentunya akan menyumbang kepada matlamat bersama untuk mencapai keterjaminan makanan global.

Malaysia juga menantikan pembaharuan sistem penyelesaian pertikaian. Pembaharuan ini penting untuk mewujudkan platform yang adil bagi negara membangun dan memastikan peraturan dan disiplin dapat dikuatkuasakan secara saksama.

Artikel Berkaitan:

Tanpa sistem penyelesaian pertikaian yang berfungsi sepenuhnya, khususnya badan rayuan, WTO berisiko muncul sebagai organisasi tidak relevan. Sistem yang berfungsi secara efisien boleh memastikan kestabilan dan keselamatan untuk syarikat melabur dan mengeksport.

Ini penting untuk mengembangkan perdagangan global, yang menurut Bank Dunia berkembang pada kadar 0.2 peratus pada 2023, satu kadar yang paling perlahan dalam tempoh 50 tahun lalu.

Ironinya, di peringkat antarabangsa, inilah masanya untuk mengukuhkan komitmen bersama terhadap perdagangan global dan kerjasama ekonomi, lebih-lebih lagi apabila kadar pertumbuhan masih rapuh.

IMF menyasarkan pertumbuhan perdagangan 3.5 peratus tahun ini, manakala OECD, pada kadar 2.7 peratus. WTO, yang berfokus kepada perdagangan barangan menyasarkan 3.3 peratus, manakala Bank Dunia pula 2.8 peratus. Walaupun sasaran-sasaran ini wajar, pertumbuhan dijangka akan dibebani pelbagai sekatan perdagangan baharu

JURANG SEMAKIN BESAR

Masalah telah disaksikan dengan jelas di Abu Dhabi dan pelbagai platform antarabangsa hari ini, jurang semakin besar antara negara maju dan membangun. Institusi global seperti WTO mesti mengimbangi keutamaan antara kedua-dua pihak ini. Perdagangan global mesti lebih saksama, mampan dan inklusif. Tidak sepatutnya ada ‘dua darjat’.

WTO sepatutnya membantu untuk menangani isu-isu yang melangkaui sempadan perdagangan tradisional, seperti cabaran berkaitan integrasi PKS ke dalam pasaran global, meningkatkan penyertaan wanita dalam perdagangan dan mewujudkan rantaian bekalan berdaya tahan. Ia sepatutnya membawa kestabilan dalam tempoh tidak menentu ini.

Masalahnya ialah kita sering melihat negara maju menghalang pembaharuan dan hanya mendesak untuk persetujuan apabila ia menguntungkan mereka. Konsensus mestilah untuk kebaikan perdagangan global dan bukan untuk kepentingan segelintir negara sahaja. Kita ambil sektor pertanian sebagai contoh. Tidak menjadi masalah bagi negara barat untuk memberi subsidi kepada pengeluar pertanian mereka tetapi pantang jika negara membangun yang melakukannya.

Negara-negara maju yang memberikan pelbagai subsidi, menikmati manfaat perjanjian dimeterai lebih 25 tahun lalu. Banyak peraturan (di bawah WTO) tidak lagi relevan dengan era ini dan perlu dikemas kini. Bagaimanapun, negara-negara maju lebih suka kedudukan sedia ada dikekalkan, walaupun ketidakseimbangan ini terus merugikan negara membangun. Namun, pengabaian WTO bukan satu keputusan bijak.

Malaysia telah secara konsisten mendorong persekitaran yang menggalakkan pelaburan, merangsang pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat kita melalui semua platform antarabangsa. Mungkin kita perlu mengimbau kembali mengapa WTO diasaskan.

Skop organisasi terdahulu, GATT, dihadkan terutamanya kepada perdagangan barangan, manakala yang menggantinya iaitu WTO, turut meliputi perkhidmatan dan harta intelek, serta pewujudan prosedur baharu untuk penyelesaian pertikaian. WTO mentakrifkan dirinya sebagai “...satu forum untuk merundingkan perjanjian yang bertujuan untuk mengurangkan halangan kepada perdagangan antarabangsa dan memastikan medan sama rata untuk semua, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.”

Jika kita abaikan tiga objektif tersebut iaitu mengurangkan halangan, medan yang sama rata untuk semua, serta pertumbuhan ekonomi dan pembangunan, tentu buruk padahnya kepada negara-negara membangun, dengan kesan yang bakal meneruk disebabkan risiko perubahan iklim.

Negara-negara maju mesti mempunyai rasa tanggungjawab untuk mewujudkan ekosistem perdagangan lebih stabil, satu ekosistem di mana lebih banyak peluang diwujudkan dan bukannya memaksa semua negara merebut peluang yang terhad.

Mereka yang perlu mengambil Langkah pertama kerana mereka berada di kedudukan yang jauh lebih baik berbanding ahli-ahli dari negara membangun. Apa yang lebih penting, WTO mesti lebih responsif kepada trend semasa dan cabaran global yang dinamik.

Walaupun kejayaannya pada masa lalu harus diakui, badan ini tidak boleh berada di takuk lama. WTO mesti mengutamakan kemampanan dan mengambil kira keperluan kesemua ahli-ahlinya, bukan hanya segelintir sahaja.

Ia juga perlu bersikap lebih inklusif untuk kekal relevan dalam era di mana sistem perdagangan yang lebih terbuka mampu menjadi kunci kepada inovasi, serta keselamatan, keamanan dan kemampanan global.

Dua tahun akan berlalu dengan sekelip mata. Marilah kita berharap apabila kita tiba kepada mesyuarat MC14, WTO akan dapat mencapai kemajuan yang benar-benar diperlukan oleh kesemua ahli-ahlinya.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan, Antarabangsa dan Industri