701 individu ditahan libat kes dadah di Pahang

JSJN Pahang laksanakan Op Hawks dan Ops Tapis Khas Se-Malaysia di negeri itu bermula 26 Februari lalu hingga Rabu. Foto ihsan PDRM
JSJN Pahang laksanakan Op Hawks dan Ops Tapis Khas Se-Malaysia di negeri itu bermula 26 Februari lalu hingga Rabu. Foto ihsan PDRM
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang telah menahan seramai 701 individu atas pelbagai kesalahan jenayah dadah menerusi Op Hawks dan Ops Tapis Khas Se-Malaysia di negeri itu bermula 26 Februari lalu hingga Rabu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, operasi sepanjang 10 hari tersebut terdiri daripada 19 pegawai, 128 anggota dan 10 polis bantuan, tangkapan melibatkan 679 lelaki dan 22 wanita berumur lingkungan 19 hingga 60 tahun.

Menurutnya, sebanyak 502 serbuan dengan 933 pemeriksaan dilaksanakan membabitkan 28 kawasan 'hot spot' atau penagihan dadah di Felda di seluruh daerah.

"Daripada jumlah tersebut, seramai 69 tangkapan di bawah kategori kesalahan bekalan/pengedaran, 155 kategori kesalahan memiliki dan 477 bagi kesalahan urin.

"Melalui operasi ini juga, lapan lelaki telah ditangkap atas kesalahan dikehendaki bagi kesalahan dadah," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Daripada jumlah tersebut katanya, sebanyak 40 tangkapan berpotensi dituduh bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jelasnya lagi, sepanjang 10 hari operasi dijalankan, JSJN Pahang telah berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM61,321 melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah iaitu heroin, syabu, ganja, pil yaba, pil eramin5, air ketum, daun ketum dan cecair kodeina.

"Melalui kedua-dua operasi ini, JSJN Pahang berjaya menyita dua buah motosikal dan wang tunai bernilai RM5,710.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis juga mengambil inisiatif dengan meningkatkan penguatkuasaan dan undang-undang terhadap individu atau kumpulan yang terlibat dalam pelanggaran undang-undang di kawasan 'hot spot' dan laluan sekatan jalan raya (SJR) terpilih," tambahnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kegiatan atau aktiviti dadah boleh menyalurkan ke Pusat Kawalan Kontinjen Pahang (CCC) di talian 09-5051999/2202 dan juga hotline JSJN Pahang di talian 09-5052287 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28