X

Kindly register in order to view this article
!

49 kes ILI dikesan di Negeri Sembilan

Veerapan (dua dari kanan) menerangkan kepada pengusaha makanan van bergerak, Khatijah Abdul Radzak (dua dari kiri) mengenai tempat-tempat yang dikuatkuasakan larangan merokok pada Operasi Penguatkuasaan Larangan Merokok di Tempat Makan, hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 49 kes penyakit Influenza Like Illness (ILI) dilaporkan di Negeri Sembilan bagi tempoh 1 Januari sehingga Rabu lepas berbanding 98 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, kes terbaru dikesan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Mukundan, Bukit Pelandok, Port Dickson membabitkan dua murid berumur 8 tahun.

“Namun, situasi ILI di negeri ini berada dalam keadaan terkawal. Tiada sekolah ditutup dan tiada kematian dilaporkan,” katanya kepada pemberita pada sidang media pelancaran operasi larangan merokok di premis makanan, di sini hari ini.

Sementara itu beliau berkata, sebanyak 1,598 kes dengan 27 kluster penyakit ILI telah dilaporkan pada tahun lepas, bagaimanapun ia berada dalam julat normal.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai terutamanya warga emas, ibu mengandung, kanak-kanak berusia 5 tahun ke bawah dan pesakit kronik seperti asma dan kencing manis supaya mendapatkan rawatan awal sekiranya terdapat simptom seperti demam yang tinggi, selesema, batuk dan kelesuan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya meminum air secukupnya, mengurangkan aktiviti luar semasa cuaca panas, kerap membasuh tangan dan mengelakkan berkunjung ke tempat yang sesak selain mengamalkan etika batuk dan bersin dengan betul,” katanya.

Sementara itu, seramai 100 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan menyertai operasi larangan merokok itu yang dijalankan di seluruh daerah di negeri ini dan beliau berkata, hasil operasi akan diumumkan petang ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus