RUU 2024 tambah baik hal ehwal Islam di Selangor - MAIS

Abdul Aziz
Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meluahkan rasa syukur atas kelulusan Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2024 (RUU 2024) pada Khamis.

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, RUU 2024 yang diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu bertujuan menambah baik beberapa perkara dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam di Selangor.

Abdul Aziz berkata, pindaan itu membabitkan pengurusan perintah bagi mahkamah syariah, pelantikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, pengurusan tauliah mengajar agama Islam dan pemerkasaan pengurusan halal.

"Dengan kelulusan ini, MAIS beriltizam memantapkan lagi pengurusan agama Islam di Selangor sejajar undang-undang dan hukum syarak dengan kerjasama padu daripada agensi agama di negeri ini.

"Ia selaras dengan kewajipan MAIS di bawah subseksyen 7(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu untuk menggalakkan, mendorong dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi serta sosial masyarakat Islam di negeri ini," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menerusi kenyataan sama, pihaknya mewakili MAIS turut merakamkan penghargaan kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi,

Dr Mohammad Fahmi Ngah yang telah membentangkan RUU 2024.

Beliau juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Sektor Undang- undang MAIS, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor, Kamar Penasihat Undang-Undang Negeri dan semua pihak yang telah berusaha dalam menyediakan RUU 2024.

Artikel Berkaitan:

"MAIS turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada semua Ahli Dewan Negeri Selangor (ADUN) yang telah memberi sokongan dan meluluskan RUU dalam usaha memperkasa pengurusan hal ehwal Islam di Selangor.

"Semoga dengan penguatkuasaan RUU 2024 ini nanti akan memberi nilai tambah dalam pemerkasaan pengurusan agama Islam dan menjadi penanda aras kepada pemantapan pentadbiran agama Islam khususnya berkaitan dengan halal di negara ini," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28