Pesawat Ukraine terhempas: Presiden EC gesa siasatan teliti, telus

Pasukan penyelamat memeriksa serpihan nahas pesawat yang terhempas berhampiran Tehran. - Foto AFP
Pasukan penyelamat memeriksa serpihan nahas pesawat yang terhempas berhampiran Tehran. - Foto AFP
A
A
A

BRUSSELS - Presiden Majlis Eropah (EC), Charles Michel menggesa agar satu siasatan teliti dan telus dilakukan berhubung nahas pesawat penumpang milik Ukrainian International Airlines yang terhempas di Iran kelmarin, lapor agensi berita Turki Anadolu.

"Saya menyokong gesaan Presiden (Ukraine Volodymyr) Zelensky serta Perdana Menteri (Kanada dan Britain), Justin Trudeau dan Boris Johnson agar satu siasatan terbuka dan menyeluruh dilakukan berhubung nahas pesawat Ukraine yang terhempas," menurut Michel di Twitter semalam.

"Apabila keluarga kehilangan orang yang disayangi, mereka berhak tahu apa yang telah berlaku. Ingatan dan doa kami bersama keluarga dan rakan mangsa," katanya.

Pesawat jenis Boeing 737-800 itu terhempas sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Imam Khomeini di Tehran beberapa jam selepas Kor Pengawal Revolusi Islam Iran melancarkan lebih sedozen peluru berpandu balistik yang menyasarkan tentera Amerika Syarikat di Iraq sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan Qassem Soleimani, komander tertinggi tentera elit Iran minggu lepas di luar Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad.

Sejumlah 176 orang terkorban dalam nahas itu termasuk rakyat Iran, Kanada, Ukraine, Sweden, Afghanistan, Jerman dan Britain. - Bernama

Artikel Berkaitan: