14 pasukan rebut Kejuaraan Ragbi Antarabangsa Borneo 7s

Velayuthan Tan
Velayuthan Tan
A
A
A

SEBANYAK 14 pasukan dalam dan luar negara termasuk enam pasukan wanita akan berentap merebut gelaran berprestij pada Kejohanan Ragbi Antarabangsa Borneo Tujuh Sebelah (7s) 2024 di padang Kelab Ragbi Eagles, Sandakan, hujung minggu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur kejohanan bergelar Greenest Sevens in the World itu, Velayuthan Tan berkata, juara kedua-dua kategori lelaki dan wanita masing-masing akan membawa pulang trofi cabaran dan wang tunai AS$5,000 (RM23,524) manakala naib juara menerima hadiah wang tunai AS$2,000 (RM9,409).

Katanya, kejohanan bermula 23 tahun lalu dengan selang tiga tahun berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19, sebagai kejohanan tempatan yang telah berkembang menjadi salah satu pertandingan kelab tujuh sebelah premier di Asia.

“Kami mengadakan acara ini beberapa tahun lalu sebagai sebahagian daripada Pesta Sandakan untuk mempromosikan daerah ini.

“Kami telah menepati janji dan terus mengadakan kejohanan yang menarik penyertaan beberapa pasukan terbaik dari Australia, New Zealand dan Fiji...ini merupakan pencapaian luar biasa bagi kami,” katanya pada sidang media pada Khamis.

Pengarah Kejohanan, Ramesh Lachmanan berkata, dalam kategori lelaki, lapan pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan dengan juara bertahan Borneo Eagles, Briars, Belgium dan Universiti Malaysia di Kumpulan A manakala Kumpulan B terdiri daripada Cavaliers, Uzbekistan, Hurricanes Delhi dan DKI Jakarta.

Pasukan wanita akan bersaing dalam format round-robin ialah Borneo Flyers, Uzbekistan, Philippines Eagles RFC, Briars, BAC Singapore dan DKI Jakarta, katanya.

Kapten Eagles Rugby Club House, Jonathan Tan berkata, konsep kejohanan tahun ini lebih kepada persekitaran seperti karnival kerana mahu menarik lebih ramai penonton.

Artikel Berkaitan:

“Menjelang kejohanan hujung minggu ini, kami sudah bermula dua hari lalu dengan mengadakan klinik bimbingan dikendalikan oleh Borneo Eagles dan Cavaliers.

“Esok, kami akan menganjurkan kejohanan veteran 10 sebelah dengan hasrat mengadakannya setiap tahun bagi pemain berusia 40 tahun ke atas,” katanya. - Bernama