Bot karam: Dua anggota polis antara empat mangsa hilang

Empat penumpang hilang apabila bot fiber yang mereka naiki karam di Sungai Batang Baleh pada petang Khamis. Foto ihsan bomba
Empat penumpang hilang apabila bot fiber yang mereka naiki karam di Sungai Batang Baleh pada petang Khamis. Foto ihsan bomba
A
A
A

KAPIT - [DIKEMAS KINI] Dua anggota polis merupakan antara empat mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintende Rohana Nanu berkata, ketika kejadian, kedua-dua anggota polis itu dalam perjalanan dari Kuching ke Ng Tulie, Kapit dengan mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dan peledak - 1050rds.

Beliau berkata, dua anggota polis yang masih hilang itu ialah Sarjan Jonathan Lambet dari cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim dari cawangan Persenjataan di IPD Kapit.

Rohana berkata, dalam kejadian sekitar 5 petang itu, dua anggota polis bersama tiga lagi penumpang menaiki bot dari jeti SK Lepong Baleh ke Ng Tulie untuk menghantar bahan letupan berkenaan.

"Semasa sampai di tempat kejadian, bot tersebut membelok ke kiri sedikit menuju ke hulu sungai dan telah menempuh air yang berpusar, menyebabkan bot dinaiki terbalik dan karam ke dalam sungai.

"Seorang mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi belum ditemukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis malam.

Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat. Foto ihsan bomba
Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat. Foto ihsan bomba

Beliau berkata, setakat ini keempat-empat mangsa belum ditemukan dan pencarian disambung esok.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47, manakala dua orang awam yang hilang dikenal pasti sebagai Amerson John Nain dan Jack Balan.

Ketika dihubungi Bernama melalui aplikasi WhatsApp, beliau berkata, panggilan mengenai kejadian itu diterima pada jam 5.25 petang dan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, telah tiba di lokasi yang terletak sejauh 13 kilometer itu pada jam 5.45 petang.

"Menurut saksi yang melihatkan kejadian tersebut, ia berlaku sekitar jam 5.00 petang di mana seramai lima penumpang menaiki bot fiber (dilengkapi enjin sangkut) 30 kuasa kuda, semasa kejadian berlaku,” katanya.

Beliau berkata pasukan bomba telah membuat penilaian awal kawasan lokasi, serta mendapatkan maklumat daripada mangsa yang terselamat dan orang awam yang menyaksikan kejadian tersebut.

"Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat. Oleh kerana arus kuat dan keadaan beransur gelap, operasi ditangguhkan pada jam 6.50 petang dan akan disambung pada esok hari,” tambahnya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!