Tiga anggota polis antara ditahan kes pemerasan, larikan lelaki

Hussein
Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Tiga anggota polis antara enam individu diberkas bagi siasatan lanjut berkaitan kes pemerasan dan melarikan seorang lelaki warga asing pada Rabu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan sebelum itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang dibuat seorang individu menyatakan bapa saudaranya telah dilarikan beberapa individu.

"Menerusi laporan yang dibuat lelaki terbabit kira-kira jam 10.21 malam mendakwa bapa saudaranya itu telah menghubunginya dan meminta dia membawa sejumlah wang untuk diselamatkan.

"Lelaki terbabit kemudiannya menerima satu lagi panggilan telefon daripada satu nombor yang tidak dikenali meminta agar dia tidak membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan kemudiannya membawa kepada tangkapan tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian.

"Operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gombak kira-kira jam 9.30 malam menahan tiga suspek yang merupakan anggota polis itu.

"Selain tiga suspek, tiga lelaki lain terdiri daripada orang awam turut ditahan bagi siasatan lanjut berhubung kejadian," katanya.

Hussein berkata, tiga individu lain sedang dikesan dipercayai terlibat dalam kejadian ini.

Artikel Berkaitan:

"Polis telah kenal pasti tiga lelaki lain yang masih bebas dipercayai turut terlibat sama dalam kes ini, usaha mengesan mereka sedang dijalankan.

"Siasatan secara adil dan telus akan dijalankan berhubung kes ini walaupun tangkapan turut melibatkan anggota polis," katanya.

Jelas beliau, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan," katanya.