Kukuh pembangunan e-sukan, jana pertumbuhan tinggi

E-sukan mampu melahirkan ramai pemain industri termasuk atlet, selain menjadi pintu masuk kepada minat golongan pelajar terhadap bidang sains teknologi. Foto hiasan AFP
E-sukan mampu melahirkan ramai pemain industri termasuk atlet, selain menjadi pintu masuk kepada minat golongan pelajar terhadap bidang sains teknologi. Foto hiasan AFP
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) bersedia mengukuhkan pembangunan sukan elektronik (e-sukan) yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi kepada ekonomi negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abdul Halim berkata, sukan itu mampu melahirkan ramai pemain industri termasuk atlet, selain menjadi pintu masuk kepada minat golongan pelajar terhadap bidang sains teknologi.

“E-sukan ini sebuah industri bernilai bilion ringgit, malah penghujung tahun ini pada Disember kita akan jadi tuan rumah M6 (Kejohanan Dunia Mobile Legends: Bang Bang) dan hadiah yang ditawarkan bernilai ASD1 juta, menjadikan sangat ramai pemain tempatan kita sedang cuba nasib, bersaing di peringkat tempatan untuk merebut takhta juara.

“Ia juga melahirkan ramai pemain industri, bukan sahaja pemain sebaliknya dalam bidang bimbingan, pemilihan watak, pengaturcaraan, pemasaran dan reka bentuk grafik design dan ia sebuah industri sangat teguh yang menuntut pelbagai disiplin untuk diamalkan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang ingin tahu hala tuju kerajaan dalam bidang e-sukan kerana dijangka membawa nilai pulangan tinggi kepada negara.

Mengulas lanjut, Adam Adli berkata hala tuju pembangunan e-sukan digariskan di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik menerusi Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik (NESDEG) yang menyokong pelaksanaan strategi yang terkandung di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik KBS 2020-2025.

Menjawab soalan asal Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai penyediaan pembangunan e-sukan di kawasan luar bandar, Adam berkata KBS melalui Esports Integrated (ESI) memperkenalkan peruntukan khusus di bawah Dana E-Sukan KBS untuk memberi galakan kepada penggiat industri tempatan menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan acara sukan di peringkat akar umbi.

“Sebanyak 14 projek telah diperuntukkan dengan sejumlah RM250,000 dan sedang dijalankan termasuk di kawasan luar bandar seperti di Simunjan, Sarawak dan Ranau, Sabah selain Alor Gajah, Melaka,”

Artikel Berkaitan:

Menjawab soalan berasingan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai penganjuran Piala Thomas 2026, Adam Adli berkata, kerajaan tidak berhasrat untuk menganjurkan kejohanan sukan itu selaras keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai usaha kerajaan mengembalikan kecemerlangan badminton negara, beliau berkata, KBS bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan untuk melahirkan lebih ramai pemain masa depan.

“Ia menerusi jawatankuasa peringkat tertinggi (HLC) yang diwujudkan untuk memberi tumpuan kepada model pembangunan bakat, yang menetapkan kerjasama lebih rapat dari sudut latihan, penganjuran acara sukan dan pertandingan supaya tidak berlaku pertindihan dan agar arah tuju selaras,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!