Desentralisasi kuasa Pusat ke negeri harus lebih adil

Muhammad Sanusi
Muhammad Sanusi
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri akan memikirkan langkah wajar untuk memperkasakan kuasa-kuasa negeri mengikut tertib-tertib perundangan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kuasa kerajaan negeri tidak boleh diganggu-gugat selepas pemisahan kuasa antara Persekutuan dan negeri dilakukan, berasaskan kepada senarai Persekutuan, senarai bersama dan senarai negeri.

Menurutnya, proses desentralisasi kuasa dari pusat ke negeri harus berlaku secara lebih adil dengan memberi lebih autonomi kepada negeri.

“Sebagaimana semua negara di dunia ini mengalami perubahan dari sudut politik, tidak mustahil suatu hari nanti, Persekutuan Malaysia juga akan berubah melalui undang-undang dan secara berperlembagaan ke arah negara bersifat lebih demokratik.

“Proses ini telah mula berjalan di negeri-negeri Borneo. Penompokan kuasa adalah satu risiko kepada pemerintahan bersifat tirani. Pembahagian kuasa yang lebih adil adalah satu sifat negara demokratik,” katanya pada sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Khamis.

Sanusi berkata, pemusatan kuasa kepada Persekutuan yang keterlaluan menyebabkan negeri tidak dapat ‘bernafas’ dan berfungsi dengan baik.

“Inilah sebuah pemerintahan tirani yang membahayakan demokrasi.

Selepas beberapa tempoh halangan besar dapat diatasi, berlaku desentralisasi kuasa, bukan lagi pemusatan tetapi pemindahan kuasa kepada negeri dalam sektor-sektor tertentu,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, konsep itu membolehkan negara yang memberi kuasa kepada negeri memiliki undang-undang dan mahkamah sendiri seperti di Amerika Syarikat.

“Antara sektor bersesuaian untuk dilakukan oleh negeri ialah infrastruktur, bekalan makanan, kawasan padi, kawasan hutan serta sumber air. Kita ada banyak aset penting negara di Kedah seperti hutan, sumber air, bekalan air dan padi,” ujarnya.

Sanusi berkata, perkara itu kemungkinan sukar dilaksanakan apabila bertembung dengan kepentingan politik kuasa.

“Tak perlulah sampai berlaku tekanan untuk pengasingan kuasa, cukuplah untuk kita bersikap sebagai negarawan yang memahami fungsi dan tanggungjawab masing masing.

“Hormatlah kita atas kepentingan yang kita ada, dan kita hormat mereka atas kuasa yang kita serahkan kepada mereka. Tak perlu bergantung kepada sokongan wakil rakyat atau kerusi kerana ia tidak kekal bila kerusi berubah sokongan,” jelasnya.

Menurutnya, proses ini mungkin mengambil masa lama kerana ia memerlukan sokongan dan dorongan politik serta sokongan rakyat.

“Kita tidak boleh tunggu kuasa tersebut untuk membolehkan Kedah menjadi sebuah negeri berdikari. Kita perlu kreatif memikirkan kaedah meningkatkan upaya negeri untuk berdikari.

“Ia boleh dilakukan dengan meningkatkan kemampuan kewangan dan fiskal negeri agar negeri mempunyai lebih ruang mencatur sendiri pembangunan dengan bantuan minimum Persekutuan.

“Kaedah lain meningkatkan tahap kebergantungan luar kepada ekonomi negeri serta menempatkan infrastruktur atau sumber-sumber strategik negara dalam negeri ini agar tahap kepentingan negeri kepada negara meningkat dan negeri dapat menggunakannya sebagai kuasa tawar-menawar apabila berunding dengan Persekutuan,” jelasnya.

Sanusi berkata, Kedah selaku negeri pengeluar beras utama negara, dapat menggunakan isu tersebut untuk tawar-menawar dengan kerajaan Persekutuan.

“Untuk itu, penting untuk Kedah miliki projek pembangunan strategik seperti Pelabuhan Laut Dalam Sanglang dan Kedah Aerotropolis serta Lapangan Terbang Kargo.

“Ia dapat meningkatkan peranan negeri dalam menyokong negara dalam geopolitik serantau,” ujarnya.

Ujar beliau, kesepakatan perlu diambil oleh negeri untuk menuntut hak-hak negeri dalam platform negara seperti Majlis Kewangan Negara, Majlis Perancangan Fizikal Negara serta Majlis Tanah Negara.

“Perkara melibatkan kepentingan dan hak negeri seperti rundingan kadar pemberian persekutuan kepada negeri seperti MARRIS dan pemberian mengikut kepala, negeri-negeri perlu sepakat menuntut agar kadar disemak semula secara adil,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!