Hapuskan stigma TVET untuk kelas bawahan

Cabang membabitkan TVET ini sebenarnya luas dan mampu menjadi salah satu bidang kerjaya premium kepada generasi masa kini. Foto fail Bernama
Cabang membabitkan TVET ini sebenarnya luas dan mampu menjadi salah satu bidang kerjaya premium kepada generasi masa kini. Foto fail Bernama
A
A
A

CADANGAN oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kerajaan menetapkan gaji graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melebihi RM4,000 sangat menarik untuk dibincangkan.

Menurut Ahmad Zahid, ia menjadi salah satu usaha memantapkan sektor TVET di Malaysia yang menjadi pilihan kedua buat anak muda untuk menyambung pengajian di peringkat tinggi.

Saranan itu adalah untuk memperbanyakkan lagi jumlah graduan TVET membabitkan pelajar Tingkatan Empat dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia.

Untuk rekod, semua sedia maklum bahawa industri TVET sering dikaitkan dengan pelajar yang tidak lulus cemerlang dalam akademik.

Namun, tidak semua tahu pendidikan yang memerlukan skil itu sebenarnya terbuka kepada semua pelajar tanpa mengira tahap akademik atau jumlah A yang ada dalam slip peperiksaan.

Topik yang menjadi muka depan akhbar ini, sedikit sebanyak mampu menghapuskan stigma bahawa TVET yang sedia ada dalam sektor pendidikan negara bukan hanya untuk golongan bawahan dan tidak pandai.

Cabang membabitkan TVET ini sebenarnya luas dan mampu menjadi salah satu bidang kerjaya premium kepada generasi masa kini.

Untuk rekod, seorang graduan Kolej Vokasional Sungai Buloh, Selangor berkongsi pandangan bahawa tawaran gaji sekurang-kurangnya RM4,000 kepada lepasan TVET sangat relevan kerana ia padan dengan permintaan dan corak pasaran kerjaya zaman ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kolej vokasional berjaya melahirkan graduan yang berkemahiran sekali gus setaraf dengan petunjuk prestasi utama (KPI) oleh Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV) yang menyasarkan 70 peratus lepasannya bekerja, menjadi usahawan (20 peratus) dan 10 peratus lagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Malah katanya, graduan TVET sangat bernilai kerana menjadi rebutan pasaran kerja yang memerlukan karyawan berkemahiran bagi mengisi kekosongan dalam sesuatu bidang.

Usaha menjernihkan kredibiliti TVET juga akan dilaksanakan menerusi sambutan Hari TVET Negara yang dijangka berlangsung pada 2 Jun nanti.

Jadi sebagai warga Malaysia yang prihatin dengan dunia pendidikan generasi masa kini, buanglah stigma bahawa TVET hanya untuk pelajar tercorot!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!