Format baharu isytihar harta ahli Parlimen sudah dimuktamadkan

Kulasegaran Foto Bernama
Kulasegaran Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Format baharu pengisytiharan aset anggota pentadbiran kerajaan serta Ahli Parlimen sudah dimuktamad dan akan dibawa untuk penelitian lanjut Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran berkata, cadangan format baharu itu telah dibentang dan dipersetujukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional siri dua yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Januari lepas.

Beliau berkata, format itu adalah penambahbaikan daripada konsep pengisytiharan aset oleh Ahli Parlimen yang pernah dilakukan pada 2018.

"Berbanding 2018, kita hanya isytihar apa harta kita ada dan nilainya, kali ini lebih tepat dan telus termasuk sekiranya ada aset, ia perlu diisytihar lengkap dengan harga asal dan waktu aset itu diperoleh.

"Seterusnya kena maklum nilai semasa aset berkenaan kemudian kita juga akan lakukan perbandingan harga asal dan nilai semasa sesuatu aset,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai Pelan Implementasi Reformasi Institusi pada sesi kamar khas Dewan Rakyat pada Rabu.

Mengenai cadangan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Kulasegaran berkata, kerajaan sudah memulakan kajian berdasarkan keterangan membabitkan tiga negara iaitu Australia, Kanada dan United Kingdom bagi mendapatkan kaedah amalan terbaik berhubung perkara itu.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said juga telah mengadakan perbincangan awal dengan Menteri Keadilan dan Peguam Negara Kanada serta Setiausaha Rendah Parlimen bagi Kementerian Kehakiman United Kingdom, semalam.

"Pertemuan yang diadakan ketika Datuk Seri Azalina menghadiri Mesyuarat Menteri Undang-Undang Komanwel 2024 di Zanzibar, Tanzania semalam adalah sebahagian daripada permulaan Kajian Empirikal Berkaitan Cadangan Pengasingan Kuasa yang disokong oleh Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kulasegaran berkata pada masa sama, kerajaan juga melakukan kajian menyeluruh mengenai cadangan untuk menetapkan had tempoh maksimum dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri.

"Ini termasuk giat melakukan sesi libat urus dengan pihak berkepentingan serta kajian perbandingan pelaksanaan tempoh perkhidmatan Menteri, Perdana Menteri dan Presiden negara luar yang mengamalkan sistem monarki dan raja berperlembagaan termasuk republik,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!