Kenyataan tidak benar di Dewan Rakyat: Jemaah Menteri tegur ahli Parlimen

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Speaker Dewan Rakyat bagi membincangkan mengenai kenyataan ahli Parlimen yang didakwa tidak benar, yang dibuat ketika sesi Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat sejak dua minggu lepas.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Jemaah Menteri telah menyuarakan teguran secara tegas terhadap perbuatan berkenaan, pada Mesyuarat Kabinet hari ini.

"Insya-Allah Jemaah Menteri akan berhubung dengan Pejabat Tan Sri Speaker untuk pastikan (ia tidak berulang) kerana seolah-olah ada sikap cakap dahulu, minta maaf kemudian,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Fahmi berkata, siri kenyataan Ahli Parlimen yang tidak benar telah mengelirukan Dewan, sebelum disusuli dengan siri permohanan maaf.

"Ada pertikaian sama ada terdapatnya penyesalan, adakah mereka faham bahawa apa yang disebut itu tidak betul dan benar, tidak kira (Ahli Parlimen) Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan), Pengkalan Chepa (Datuk Ahmad Marzuk Shaary) atau Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang),” katanya.

Fahmi berkata, bagaimanapun perkara-perkara yang dibangkitkan akan dijawab menteri-menteri dalam sesi penggulungan yang dijadual bermula Isnin.

Pada 5 Mac, Wan Saiful memohon maaf atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu, untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28