Minimumkan birokrasi, pastikan PKS berkembang pesat: Menteri

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan berusaha meminimumkan proses birokrasi melibatkan perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya dapat menyumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof berkata, ia antara cabaran besar kementerian selaras dengan dasar yang digariskan dalam Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

"Proses birokratik ini perlu dinilai kembali dan perlu ditambah baik. Banyak keluhan daripada PKS melibatkan isu ini, nak buat itu lambat, nak buat ini lambat. Kami sedang berusaha mengatasi isu ini memandangkan ini tahun kedua kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya kepada Bernama di kementerian itu di sini.

Tahun 2020 bakal menjadi tahun terbaik untuk membuktikan kemampuan Malaysia menempuh ketidaktentuan gelombang ekonomi dunia sekiranya isu kerenah birokrasi itu dapat ditangani dengan baik.

Beliau secara optimis berkata, tahun ini, kementerian telah menyusun pelbagai program dan latihan bagi menyediakan golongan usahawan PKS bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), antaranya Kursus Asas Keusahawanan (KAK).

"Latihan dan kesedaran untuk IR4.0 perlu dipertingkatkan. Ini kerana masih ramai usahawan kita enggan untuk bermigrasi kepada penggunaan digital," katanya.

Beliau turut yakin kerajaan sedang berada dalam landasan terbaik bagi mewujudkan 250,000 usahawan sebagai langkah merealisasikan sejuta peluang pekerjaan di Malaysia dalam tempoh lima tahun selaras dengan manifesto kerajaan PH.

"Jika ikut data kita kumpul sepanjang 2018-2019, kita sudah berjaya wujudkan lebih 50,000 usahawan baharu, jadi saya yakin dengan kerjasama semua agensi dan kementerian lain, kita mampu capai sasaran mewujudkan 250,000 usahawan baharu itu.

Artikel Berkaitan:

"Lagipun negara kita bertuah kerana ada 'goldmine' iaitu industri pertanian, ia boleh dibangunkan begitu besar. Ini kerana kita belanja lebih RM50 bilion untuk barangan makanan dari luar negara," katanya.

Sementara itu, dalam laporan pencapaian 2019 kementerian itu, 20 usahawan fertigasi baharu dilahirkan daripada golongan B40, anak muda, wanita dan orang kurang upaya (OKU) dengan peningkatan pendapatan melebihi RM4,000 sebulan sepanjang tahun lepas.

Dari segi pembiayaan, sehingga November 2019, sejumlah RM394.86 juta pembiayaan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional diluluskan melibatkan 19,087 usahawan B40.

Selain itu, terdapat 1,187 bakat keusahawanan untuk persediaan ekonomi masa hadapan di bawah program Innovation Driven Enterprise serta 30 perusahaan sosial di bawah Dana Mudahcara B40 anjuran bersama MED dan Kementerian Kewangan.

Sebanyak 2,184 graduan ditempatkan di 124 buah syarikat (101 syarikat swasta dan 23 syarikat GLC) menerusi Program Kebolehpasaran & Keusahawanan di bawah program PROTÉGÉ sementara program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 6.0 dikembangkan kepada golongan B40, asnaf, OKU dan luar bandar bagi memperkasa kontraktor bumiputera.

Program pengurusan dana Skim Kumpulan Wang Amanah Kontraktor (SKWAK) diwujudkan semula di bawah MED mulai 1 September 2019, dengan 46,951 kontraktor G1-G7 mempunyai Sijil Taraf Bumiputera (STB), 2,089 kontraktor berjaya memperoleh STB Gred G1 Bumiputera manakala 215 kursus merangkumi kursus asas, teknikal dan pengurusan telah dilaksanakan dengan penglibatan 6,450 kontraktor bumiputera.

Bagi program ScoreXcess yang diwujudkan 30 September 2019, ia bertindak sebagai 'one stop portal' untuk usahawan mikro dan kecil mengakses peluang pembiayaan.

Agensi pembiayaan yang berdaftar dalam program ini termasuk Bank Rakyat, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) serta Perbadanan Nasional Berhad (PNS) dan dibangunkan secara kerjasama antara Pusat Pembangunan dan Penyelidikan Usahawan (CEDAR), SME Bank, Orion IXL dan Telekom Malaysia.

Jumlah permohonan yang diterima setakat 18 Disember 2019 ialah 493 syarikat dengan nilai pembiayaan hampir RM3 juta.

Tidak ketinggalan pembangunan MalaysiaBiz kerjasama SME Corp dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang menyediakan info berkenaan pendaftaran dan pelesenan perniagaan bagi 2,919 lesen daripada 508 pihak berkuasa melesen yang meliputi 1,174 aktiviti perniagaan

Portal ini mencatat 110,134 rekod pengunjung sehingga awal Disember 2019 dan sebanyak 36 transaksi direkodkan sejak perkhidmatan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen secara dalam talian dibuka pada 23 Ogos 2019. - Bernama