Perdagangan dua hala Malaysia dan Bosnia & Herzegovina cecah RM18 juta

Reezal Merican (tengah) merasmikan Forum Perniagaan Antarabangsa Malaysia-Bosnia & Herzegovina 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Reezal Merican (tengah) merasmikan Forum Perniagaan Antarabangsa Malaysia-Bosnia & Herzegovina 2024 di Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PERDAGANGAN dua hala Malaysia dan Bosnia & Herzegovina mencecah RM18 juta, mencatatkan pertumbuhan ketara sebanyak 32.2 peratus tahun ke tahun pada 2023, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dalam tempoh yang sama, eksport Malaysia ke Bosnia & Herzegovina meningkat 3.2 peratus kepada RM3.20 juta, manakala import meningkat 40.8 peratus kepada RM14.83 juta.

"Jumlah perdagangan Malaysia dengan Bosnia & Herzegovina meningkat sebanyak 15 kali ganda sejak 10 tahun lepas, dengan eksport sahaja menyaksikan peningkatan tiga kali ganda,” katanya dalam ucaptamanya di Forum Perniagaan Antarabangsa Malaysia-Bosnia & Herzegovina 2024, di sini pada Rabu.

Reezal berkata, pada 2023, perdagangan Malaysia dengan Kesatuan Eropah (EU) berjumlah RM206.69 bilion, dengan nilai eksport dan import masing-masing berjumlah RM112.88 bilion dan RM93.81 bilion.

Reezal Merican (tengah), Mohd Mustafa (dua dari kanan), Al Amin (tiga dari kanan) dan Duta Bosnia and Herzegovina ke Malaysia, Edin Jahic (tiga dari kiri) bergamber bersama tetamu yang hadir. Foto Bernama
Reezal Merican (tengah), Mohd Mustafa (dua dari kanan), Al Amin (tiga dari kanan) dan Duta Bosnia and Herzegovina ke Malaysia, Edin Jahic (tiga dari kiri) bergamber bersama tetamu yang hadir. Foto Bernama

"Ini menunjukkan perdagangan dua hala Malaysia dengan Bosnia & Herzegovina hanya mewakili sebahagian kecil daripada perdagangannya dengan EU, dan lebih banyak peluang perdagangan yang belum diterokai," katanya.

Reezal berkata, antara produk Malaysia yang berpotensi berkembang maju di pasaran negara Balkan itu seperti perkhidmatan pembinaan dan bahan binaan, perabot, peranti dan peralatan perubatan, barangan pengguna cepat laris halal (FMCG) termasuk farmaseutikal dan kosmetik, serta tenaga solar dan bersih.

Bahagian perkhidmatan termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), multimedia dan kandungan kreatif; perkhidmatan pendidikan; dan pelancongan termasuk pelancongan Islam, katanya, sambil menambah lebih 50 peratus penduduk Bosnia & Herzegovina beragama Islam.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, nilai pelaburan Malaysia di negara itu melebihi RM160 juta dan tertumpu dalam pelbagai sektor, termasuk pembangunan hartanah, motel, restoran dan rumah penyembelihan.

"Kemasukan pelaburan Malaysia di Bosnia & Herzegovina juga boleh dimanfaatkan untuk meletakkan produk dan perkhidmatan Malaysia dalam pasaran tempatan dan serantau,” katanya.

Forum Perniagaan Antarabangsa Malaysia-Bosnia & Herzegovina 2024 dianjurkan oleh Majlis Perniagaan Malaysia-Bosnia & Herzegovina (MBBC).

Semasa acara itu, MBBC turut memperkenalkan logo baharunya yang merangkumi intipati persahabatan, perpaduan dan kesalinghubungan antara kedua-dua negara. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28