Kekal Proton Perdana untuk menteri, timbalan menteri

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan memutuskan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi menteri dan timbalan menteri.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebentar tadi.

Menurutnya, kerajaan telah dimaklumkan oleh Proton bahawa jumlah kenderaan itu mencukupi.

"Kita baru sahaja dapat pengesahan bahawa ia mencukupi," katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya dimaklumkan bahawa kenderaan itu tidak mencukupi dan kerajaan diberi pilihan kedua.

"Tetapi ia mencukupi. Kita akan kekalkan (Proton Perdana)," katanya.

Guan Eng berkata, kontrak pembekalan kenderaan rasmi kerajaan sedang diteliti dan akan diputuskan dalam masa terdekat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kereta mewah kenderaan rasmi menteri: Tunggu keputusan Kabinet, kata Guan Eng

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan kerajaan sedang dalam proses melantik sebuah syarikat untuk membekalkan kenderaan untuk kegunaan rasmi menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Artikel Berkaitan:


Janji niaga itu akan menyaksikan peruntukan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord untuk pegawai kanan kerajaan.

Sementara itu, Guan Eng turut menafikan menteri diberikan elaun parkir RM5,000 dengan menyifatkan maklumat tersebut sebagai palsu.

"Saya tercari juga di manakah peruntukan yang menyebut elaun parkir itu. Kalau ada, saya juga mahu 'claim' (buat tuntutan)," selorohnya.