Northport, JPK kongsi kepakaran operasi pelabuhan

Khairul Dzaimee (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengurus Besar Bahagian Modal Insan Northport, Norzalinda Mohamed (kanan) dengan Zuleah bertukar dokumen MoU di Putrajaya pada Selasa.
Khairul Dzaimee (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Pengurus Besar Bahagian Modal Insan Northport, Norzalinda Mohamed (kanan) dengan Zuleah bertukar dokumen MoU di Putrajaya pada Selasa.
A
A
A

AHLI kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC), Northport (Malaysia) Bhd (Northport) meneruskan komitmen dalam meningkatkan pembangunan modal insan melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Menerusi kenyataan pada Selasa, Northport memaklumkan, perjanjian komprehensif itu merangkumi pelbagai bidang kerjasama termasuk perkongsian kepakaran, pengetahuan, perkhidmatan dan perundingan dalam pengurusan serta operasi industri pelabuhan.

Perjanjian tersebut juga termasuk bagi melaksanakan dan mempromosikan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

"Pemeteraian MOU tersebut merupakan satu langkah penting bagi kedua-dua pihak untuk membangunkan tenaga kerja mahir secara bersama dalam bidang pengurusan dan operasi pelabuhan," katanya.

Sebagai pemain industri, Northport berkata, mereka menyokong secara aktif program dan inisiatif yang diterajui kerajaan dalam membangunkan pekerja mahir.

Pada masa sama, ia juga menggalakkan budaya pembelajaran berterusan dalam organisasi.

"Melalui usahasama dengan JPK ini, Northport menyasarkan untuk meneroka peluang untuk kerjasama selanjutnya, khususnya dalam bidang pengurusan dan operasi pelabuhan,” ujar syarikat itu lagi.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Northport, Datuk Azman Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Pembangunan Kemahiran, Zuleah Darsong pada satu majlis di sebuah hotel di sini.

Artikel Berkaitan:

Ia disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Sementara itu, Zuleah menyifatkan perkongsian strategik itu membuktikan komitmen antara kedua-dua pihak untuk membina negara memandangkan pelabuhan dan logistik adalah industri yang penting bagi Malaysia.

"Dedikasi kami untuk meningkatkan pekerja mahir dalam pengurusan dan operasi pelabuhan sejajar dengan visi dan misi membina asas yang mampan, memupuk tenaga kerja mahir yang berpengetahuan, berdaya saing serta bertaraf dunia," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!