'Saya tak akan serahkan telefon walaupun ditangkap' - Che'gu Bard

Che'gu Bard (dua dari kiri) dan Muhammad Zahid Md Arip (dua dari kanan) di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
Che'gu Bard (dua dari kiri) dan Muhammad Zahid Md Arip (dua dari kanan) di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] "Saya tidak akan serahkan telefon walaupun ditangkap,". Demikian tegas Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard berkaitan tindakan siasatan ke atasnya berhubung video didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Che'gu Bard berkata, dia tidak akan sesekali menyerahkan gajet miliknya kepada pihak berkuasa kerana mendakwa tindakan itu merupakan salah guna kuasa.

"Saya sepatutnya tidak disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana perbualan itu secara spontan dan bukannya saya rakam dan saya tularkannya.

"Walaupun saya akan ditangkap, saya tidak akan serahkan gajet bukan kerana takut tapi bagi saya ia merupakan satu intimidasi dan salah guna kuasa yang jelas," katanya ketika sidang akhbar di hadapan pekarangan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

Che'gu Bard bersama bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip tampil di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk dirakam keterangan berkaitan video yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Isnin lalu, polis memaklumkan pihaknya membuka kertas siasatan ke atas Che'gu Bard dan bekas Setiausaha Politik, Tun Dr Mahathir Mohamad, Muhammad Zahid Md Arip berhubung video terbabit.

Media sebelum ini melaporkan Anwar dilihat menggunakan kenderaan baharu jenama Mercedes Benz di Parlimen.

Anwar dilihat menaiki kereta Mercedes berwarna hitam dengan nombor pendaftaran VEV 1158 di mana semakan didaftarkan atas nama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Che'gu Bard menegaskan, tidak ada satu bahagian dalam video berkenaan yang mempunyai unsur menghina Yang di-Pertuan Agong.

"Malah dalam rakaman itu membela Yang di-Pertuan Agong dengan menjelaskan kepada orang ramai bahawa Seri Paduka Baginda adalah harapan rakyat dalam menyelamatkan negara yang kelihatan menuju negara gagal ini.

Artikel Berkaitan:

Che'gu Bard (tengah) ketika sidang akhbar di pekarangan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.
Che'gu Bard (tengah) ketika sidang akhbar di pekarangan pintu masuk Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada Rabu.

"Maka jelas siasatan ke atas kami merupakan intimidasi dan bertentangan dengan Perlembagaan negara yang menjamin hak dan kebebasan rakyat bersuara," katanya.

Menurutnya, siasatan yang dikenakan turut melibatkan Akta Hasutan di mana jelas sekali menunjukkan omongan kosong Pakatan Harapan.

"Kami disiasat dibawah Akta Hasutan yang mana Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta Pakatan Harapan menjanjikan untuk memansuhkannya.

"Bagaimanapun akta ini bukan sahaja tidak dimansuh sebaliknya digunakan secara melampau serta sesuka hati," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

'Saya tak akan serahkan telefon walaupun ditangkap' - Che'gu Bard #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #CheguBard

Mission Impossible Theme (Movie Trailer Mix) - Dominik Hauser