300 penduduk DUN Permatang 'serbu' Program Jualan Rahmah Madani

Sebahagian penduduk mendapatkan beras dan ayam yang dijual pada program berkenaan.
Sebahagian penduduk mendapatkan beras dan ayam yang dijual pada program berkenaan.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 300 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah pada Program Jualan Rahmah (PJR) Madani di Taman Bayu, di sini pada Isnin.

Rata-rata penduduk menyifatkan inisiatif itu memberi manfaat kepada rakyat bagi meringankan beban dalam menangani kos sara hidup.

Seorang pesara kerajaan, Ibrahim Sahudin, 74, berkata, program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) sewajarnya dipuji kerana penduduk boleh mendapatkan barang keperluan harian sehingga 30 peratus lebih murah daripada harga biasa di pasaran setempat.

"Saya memang menanti PJR Madani kerana sebelum ini inisiatif sama diadakan pada Program Madani Rakyat di Kompleks Sukan Kuala Selangor pada 23 Februari lalu.

"Saya dapati barangan keperluan dijual di sini murah dan ia setidaknya dapat mengurangkan beban kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

IBRAHIM
IBRAHIM

Ibrahim yang menetap di Taman Bayu memberitahu, penduduk amat menghargai usaha KPDN bagi membantu komuniti setempat.

"Kami bersyukur kerana dapat membeli barang keperluan tanpa perlu menghadapi beban kewangan tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Diharapkan program ini akan terus berjaya dan memberi impak positif kepada masyarakat setempat," ujarnya.

Bawa keceriaan

Bekas imam masjid, Salleh Mian, 62, berkata, PJR Madani telah memberikan keceriaan kepada masyarakat terutama mereka yang berpendapatan rendah.

SALLEH
SALLEH

Ujarnya, golongan bawah B40 misalnya seringkali terkesan dengan kenaikan harga barangan keperluan.

"Biasanya, saya membeli beras putih biasa lima kilogram dengan harga RM20 sekampit, namun kini membelinya dengan hanya RM13 sahaja.

"Begitu juga dengan harga telur iaitu RM12 di pasaran, tetapi dijual RM10 di sini dan harga dua ekor ayam RM30 di pasaran berbanding RM20 sahaja dengan penjimatan RM10," katanya yang menetap di Kampung Raja Musa, Bestari Jaya.

Seorang suri rumah, Roslinda Zainuddin, 51, berkata, penduduk semestinya menanti program bermanfaat seperti itu.

Ujarnya, harga barangan asas di pasaran luar sememangnya lebih mahal berbanding inisiatif kerajaan seperti ini.

"Sememangnya saya berbelanja secara berhemah apatah lagi tinggal berdua dengan suami dan sesekali anak serta cucu pulang ke rumah pada hujung minggu," ujarnya yang menetap di Kampung Sungai Yu.

Prihatin

Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, kerajaan amat prihatin untuk membantu rakyat.

Jelas beliau, rakyat diberi peluang untuk mendapatkan barangan basah pada harga lebih rendah.

"Kerajaan sangat mengambil berat dan saya yakin usaha ini tidak terhenti dan akan diteruskan pada masa akan datang," ujar beliau.

Penduduk mendapatkan pelbagai barangan mentah dijual pada PJR di sini.
Penduduk mendapatkan pelbagai barangan mentah dijual pada PJR di sini.

PJR Madani merupakan salah satu program dilaksanakan KPDN di bawah inisiatif Payung Rahmah Madani dengan menyasarkan potongan harga barang sebanyak 10 hingga 30 peratus dengan keutamaan di lokasi-lokasi rakyat berpendapatan rendah.

PJR Madani ini dilaksanakan di setiap 222 kawasan Parlimen di seluruh negara meliputi 600 DUN dan 40 zon bagi Wilayah Persekutuan.

Program itu bertujuan merancakkan ekonomi sektor peruncitan kawasan setempat di samping membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Selain itu, program itu juga dapat membantu menghidupkan kembali ekonomi seluruh anggota masyarakat setelah berhadapan dengan pandemik sekali gus membantu meringankan kos sara hidup rakyat dalam situasi yang mencabar.

Antara barang-barang keperluan harian yang diberikan diskaun adalah ayam, ikan dan hasil laut, telur ayam, gula putih bertapis, minyak masak botol, tepung gandum, beras, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Selain itu, barangan penjagaan diri, barangan pembersihan rumah, lampin pakai buang, barangan keperluan sekolah, ubat-ubatan dan lain-lain barang keperluan harian seperti makanan dan bukan makanan turut diberikan diskaun.

Program itu dilaksanakan secara fizikal dan bergerak di premis perniagaan terpilih di seluruh negara dan kawasan penempatan atau tumpuan B40 agar inisiatif ini sampai dan dirasai di segenap pelusuk negara.

Program itu menggunakan kaedah lori pickup, van atau sebagainya yang akan bergerak hingga ke kampung dan pedalaman. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat takwim PJR Madani menerusi portal KPDN bagi mengehtahui lebih lanjut lokasi dan tarikh pelaksanaan di kawasan berdekatan mereka.