Menang belum tentu semua gembira...

Ancelotti
Ancelotti
A
A
A

PENGENDALI Real Madrid, Carlo Ancelotti tanpa berselindung mengakui gembira dengan momentum gergasi Sepanyol tersebut yang mengetuai saingan LaLiga pada ketika ini.

Malah, pengendali kelahiran Itali itu menegaskan, Los Blancos bersedia menjadi tuan rumah kepada gergasi Bundesliga Jerman RB Leipzig selepas mendahului 1-0 bagi aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.

Biarpun begitu, Ancelotti tanpa berselindung menyuarakan tugasnya di Stadium Santiago Bernabeu masih melibatkan banyak perkara yang memerlukan penyelesaian segera.

Pengendali berpengalaman berusia 64 tahun itu merenungkan beban peribadi apabila menyahut cabaran mengendalikan juara 14 kali kejuaraan tertinggi kelab Eropah tersebut.

Ternyata jelasnya, perjuangan untuk menangani cabaran mental yang dihadapi pemain dan kakitangan dalam persekitaran kompetitif sesuatu kompleks dalam dunia bola sepak moden.

"Sejujurnya pekerjaan saya lebih kepada penderitaan daripada kebahagiaan sebenarnya.

"Ya, saya suka pekerjaan saya, lebih-lebih lagi di Real Madrid kerana ia adalah kelab yang sempurna di dunia untuk melakukan apa yang saya lakukan.

"Tetapi mengenai kerja saya secara keseluruhan, ia lebih kepada penderitaan kerana situasi yang anda uruskan setiap hari.

Artikel Berkaitan:

"Bukan hanya kemenangan yang menggembirakan dan walaupun menang, ada orang di sekeliling anda yang tidak gembira.

"Ia mungkin pemain yang belum bermain... Itu memberi kesan kepada kebahagiaan umum.

"Penderitaan hanya milik anda.

"Anda boleh berkongsi kebahagiaan dengan orang lain tetapi bukan penderitaan.

"Jadi saya baik-baik saja kerana di mana saya berada dan pekerjaan dimiliki, saya mempunyai lebih banyak penderitaan daripada kebahagiaan," kata Ancelotti.

Lebih dua bulan selepas melanjutkan kontrak Real Madrid sehingga 2026 berikutan beberapa bulan ketidaktentuan mengenai masa depannya, dengan Persekutuan Bola Sepak Brazil menyasarkan dia mengambil alih sebagai pengurus, Real gah memimpin LaLiga selepas satu kekalahan dalam 27 perlawanan.

Tidak tewas dalam Liga Juara-Juara ketika mereka meneruskan usaha menjuarai Piala Eropah ke-15, Ancelotti berkata, dia teruja dengan prestasi pasukannya, walaupun beberapa tonggak seperti penjaga gol Thibaut Courtois serta pemain pertahanan David Alaba dan Eder Militao mengalami kecederaan

Biarpun begitu Ancelotti menegaskan, semua itu tidak memberi sebarang nilai jika mereka tidak menutup musim pada tahap tinggi.

"Kami perlu mengejar impian untuk memenangi pertandingan ini (Liga Juara).

"Setakat ini kami melakukannya dengan baik, tetapi masih ada dua hingga tiga bulan lagi.

"Saya tidak boleh mengkritik pasukan saya buat masa ini.

"Perkara utama ialah saya mempunyai pemain yang sangat bagus.

"Ada pemain yang ingin belajar, meningkat dan menjadi sebahagian daripada kelab ini.

"Semua yang anda letakkan atas meja, mereka menerimanya.

"Mereka memberikan segala yang termampu untuk melakukannya dengan baik dan membantu pasukan," kata Ancelotti.


LIGA JUARA-JUARA

Pusingan 16 Terbaik

Perlawanan Kedua

Khamis (7 Mac):

Real Madrid (1) lwn (0) RB Leipzig, 4 pagi

Manchester City (3) lwn (1) BK Copenhagen, 4 pagi

* Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28