Suruhanjaya Pekerja Gig: Tiga bulan laporan interim terlalu lama

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

PUTRAJAYA - Persatuan Pemandu Grab Malaysia menyambut baik langkah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) yang akan menerajui Jawatankuasa Pelbagai Kementerian dan Pemegang Taruh bagi merealisasikan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Bagaimanapun Presidennya, Arif Asyraf Ali berkata, tempoh masa tiga bulan untuk laporan interim dibentangkan kepada Jemaah Menteri adalah terlalu lama.

“Bagi saya masa yang diambil terlalu lama kerana kami telah memperjuangkan penubuhan suruhanjaya ini sejak sekian lama,” katanya pada Selasa.

Ujar beliau, kementerian dan agensi yang terlibat perlu mengambil langkah drastik bagi memastikan nasib pekerja industri gig terbela.

“Kami tidak mahu lagi ia dilengah-lengahkan. Sepatutnya tempoh sebulan sudah memadai dan kemudian KESUMA boleh mengumumkan pengerusi serta ahli-ahlinya,” jelas Arif Asyraf.

Pada Isnin, KESUMA mengumumkan kementerian itu akan menerajui jawatankuasa berkenaan bagi tujuan penubuhan suruhanjaya tersebut.

Jawatankuasa berkenaan akan meneliti terma rujukan penubuhan suruhanjaya melibatkan aspek fungsi, perundangan, kewangan dan keanggotaan sebelum satu laporan interim dibentangkan kepada Jemaah Menteri dalam tempoh tiga bulan.

Dalam pada itu, Arif Asyraf berkata, pihaknya sedia melibatkan diri dalam usaha penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig.

Artikel Berkaitan:

“Kami sentiasa bersiap sedia,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia, Amar Firdaus Adnan senada dengan Arif Asyraf dengan menyifatkan langkah tersebut suatu sinar buat penghantar makanan.

“Kami sangat berharap ia dapat disegerakan agar segala isu-isu yang dibangkitkan selama ini dapat diselesaikan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!