'Wanita boleh bersedih tetapi jangan terlalu lama'

Rozita
Rozita
A
A
A

SHAH ALAM - Apabila wanita sudah meletakkan sasaran yang ingin dicapai melebihi perkara lain, tiada sesiapa yang mampu menghalang mereka menggapai impian tersebut.

Itulah semangat yang menjadi penguat buat tokoh usahawan wanita, Datuk Seri Rozita Ramelan apabila berjaya mencipta nama sehingga ke persada antarabangsa.

Biarpun pernah diuji apabila ditipu rakan karib sendiri berjumlah lebih RM700,000 dan hampir disaman RM5 juta oleh salah sebuah pasar raya terkemuka, ia tidak menjadi penghalang untuk beliau terus bangkit.

Anak pertama daripada empat adik-beradik itu berkata, peristiwa tersebut menjadi detik yang tidak boleh dilupakan sepanjang jatuh dan bangun beliau bergelar ahli perniagaan.

“Ia pengalaman yang sangat memberikan pengajaran kepada saya malah waktu kejadian saya tidak berada di sini (Malaysia) kerana sibuk menguruskan perniagaan di luar negara.

Rozita
Rozita

“Sejak peristiwa tersebut, saya sudah tidak mempercayai sesiapa lagi tetapi saya yakin dengan ALLAH SWT kerana dia akan menggantikan dengan yang lebih baik.

“Apa yang saya boleh cakap, wanita apabila sudah berada di dalam situasi seperti ini sememangnya akan emosi tetapi nasihat saya mereka boleh bersedih tetapi jangan terlalu lama kemudian wajib bangkit dan berusaha,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rozita, beliau turut menerima anugerah di peringkat antarabangsa iaitu The Best Cooking Ingredients di Asian Halal Brand Awards pada 2019.

Tambah anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu, walaupun mengecapi kejayaan tersebut, beliau akan terus menyumbangkan bakti kepada masyarakat di Malaysia dengan membuat kebajikan melalui pelbagai bantuan dan program.

“Antara yang pernah dilakukan termasuklah membina penempatan untuk golongan asnaf dan anak yatim seramai 250 orang serta membuat program memberi barang makanan asas berharga RM500 bagi setiap rumah kepada 1,500 keluarga di sekitar Kuala Lumpur ketika Covid-19.

“Selain itu, saya juga ada menyediakan latihan kepada 40 wanita untuk membuat perniagaan dari rumah sehingga mereka berjaya membuka kedai sendiri.

“Pasukan kami turut memberi dapur dan tong gas kepada 2,000 rumah mangsa banjir serta menderma kepada hospital bagi merawat kanak-kanak sakit jantung yang tidak berkemampuan untuk pembedahan serta banyak lagi,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!