Tindakan SPRM cetus kebimbangan pelabur

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya (kanan) berbincang bersama Datuk Seri Azam Baki ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM. - Foto Bernama (Gambar kecil: Kamal Affandi dan Shahul Hamid)
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya (kanan) berbincang bersama Datuk Seri Azam Baki ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM. - Foto Bernama (Gambar kecil: Kamal Affandi dan Shahul Hamid)
A
A
A

KELMARIN mencatat sejarah dalam sistem perundangan negara apabila buat pertama kalinya sembilan bukti rakaman audio didakwa konspirasi jenayah tertinggi yang diperoleh daripada sumber tidak dikenali didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tanpa dirujuk kepada polis dan mahkamah.

Berdasarkan rakaman audio itu, memang jelas perbualan telefon bimbit dipercayai diintip itu membabitkan lapan pemimpin berprofil tinggi dari dalam dan luar negara termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, tindakan SPRM membuat pendedahan itu menjadi perdebatan rakyat seluruh negara termasuk persoalan apakah patut bukti penting dan sulit sebegini didedahkan kepada awam?

Rata-rata rakyat negara ini mengecam tindakan SPRM membuat pendedahan menerusi sidang akhbar Ketua Pengarah SPRM, Latheefa Koya serta mempersoalkan motif pihak berkuasa itu tidak menyerahkan terus rakaman audio kepada polis dan mahkamah.

Pendedahan itu timbul ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis menyebabkan ramai yang beranggapan ia hanya bermotifkan politik, lebih-lebih lagi latar belakang Latheefa sebelum ini yang lebih cenderung kepada menyokong Pakatan Harapan (PH).

Dari aspek perundangan, penggunaan kaedah wire tapping atau phone bugging secara umumnya dibenarkan dalam perundangan negara dan boleh menjadi bukti di mahkamah.

Mengikut Kanun Acara Jenayah, Seksyen 116C, pendakwa raya boleh memberi kebenaran kepada mana-mana anggota polis untuk memintas, mendengar atau merekod apa-apa perbualan melalui komunikasi.

Selain itu, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 43 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membolehkan SPRM memintas panggilan telefon, mendengar serta merakam perbualan mana-mana individu sasaran.

Artikel Berkaitan:

Namun begitu, adakah tindakan mendedahkan bukti rakaman audio perbualan sulit lapan pemimpin berprofil tinggi berkenaan kepada umum berlandaskan etika perundangan?

Pengamal undang-undang, Datuk Abdul Rahman Mohd Redza berpandangan tindakan SPRM itu merupakan hari paling hitam dalam sejarah perundangan negara.

Menurutnya, pendedahan kontroversi itu juga membuka lembaran baharu terhadap definisi mahkamah terbuka dan menunjukkan SPRM melanggari norma sistem perundangan negara.

“Kesemua asas perundangan dilihat tidak lagi penting kepada individu mengetuai SPRM ketika ini.

“Dengan drama terkini itu yang dilihat sebagai satu tindakan jijik daripada perspektif pengamal undang-undang, sesiapa pun tidak boleh disalahkan sekiranya SPRM kini dianggap sebagai ‘macai’ kepada parti politik,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi kepada Sinar Harian semalam.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Hak Najib nak komen' - Latheefa

Bagaimana pula kesannya kepada negara?

Pakar kriminologi bebas, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata, pendedahan intipan melalui sistem komunikasi sebenarnya memberi mesej tidak baik bahawa sistem komunikasi digital negara juga boleh dipecah masuk mana-mana pihak termasuk agensi kerajaan.

“Sudah pasti ia tidak menggembirakan pelabur luar, peniaga dalam apa jua bidang perniagaan serta golongan profesional yang berpegang kepada prinsip menjaga kerahsiaan pelanggan.

“Bayangkan pemimpin berprofil tinggi seperti Perdana Menteri juga boleh diintip. Sudah pasti pelabur akan takut segala maklumat sulit berkaitan perniagaan mereka akan turut terdedah melalui intipan,” katanya.

Shahul Hamid berkata, kerajaan Malaysia juga berkemungkinan berdepan ancaman saman daripada negara lain seperti UAE susulan pendedahan nama-nama pemimpin utama negara itu oleh SPRM.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula menyifatkan pendedahan teknologi intipan melalui sistem komunikasi memberi tanggapan maklumat kerahsiaan sesiapa sahaja kini tidak lagi selamat.

“Kita andaikan bahawa teknologi intipan seperti ini wujud di pasaran gelap, bukankah ia bermakna segala perbualan sulit kepimpinan negara boleh diintip pihak tidak bertanggungjawab?

“Selain itu, pendedahan bukti jenayah melalui kaedah intipan juga mengundang kebimbangan kemungkinan berlaku kebocoran maklumat seseorang, misalnya komunikasi pesakit dengan doktor, peguam dengan anak guam jika teknologi itu diguna pakai tanpa protokol.

“Justeru, saya mengesyorkan kerajaan mewajibkan satu prosedur atau protokol tertentu terhadap mana-mana tindakan intipan supaya masalah kebocoran maklumat tidak berlaku terhadap sesiapa,” katanya.