Pemain industri Jerman dijemput jadi anggota Majlis TVET Negara

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap pada Sidang Kemuncak Majlis Penasihat Industri di Institut Jerman-Malaysia, pada Selasa. Foto Bernama
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika berucap pada Sidang Kemuncak Majlis Penasihat Industri di Institut Jerman-Malaysia, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Wakil pemain industri dari Jerman dijemput menganggotai Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara untuk berkongsi ilmu dan teknologi baharu kepada pelajar dan institusi TVET tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata, selain Jerman, kerajaan juga akan menjemput wakil dari negara asing lain yang mempunyai institusi TVET di Malaysia untuk menganggotai majlis itu.

"Pihak pemain-pemain industri dari Jerman telah menawarkan diri untuk menyumbang dari segi ilmu, pengalaman dan teknologi kepada banyak institusi TVET di Malaysia, maka ketika di Berlin (Oktober tahun lepas), saya telah menjemput Dewan Perniagaan Jerman di Malaysia untuk menghantar wakil dalam Majlis TVET Negara.

"Seorang daripada CEO (ketua pegawai eksekutif) sebuah syarikat Jerman akan dinamakan untuk duduk dalam Majlis TVET negara,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Majlis Penasihat Industri di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, selain berkongsi ilmu dan teknologi baharu, syarikat asing yang menganggotai Majlis TVET Negara dalam masa yang sama juga boleh menandatangani perjanjian untuk mengambil pekerja lepasan TVET dengan syarikat-syarikat mereka dan dibayar gaji yang premium.

Ahmad Zahid dalam pada itu berkata, sebanyak 238 perjanjian dan pembentukan kerjasama dengan syarikat swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah ditandatangani dengan institusi TVET tahun lepas.

Dalam tempoh yang sama, lebih 10,000 perjanjian ditandatangani antara The Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) dengan Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Ertinya lebih 10,200 syarikat telah menjalin hubungan untuk melaksanakan TVET dan juga mengambil pekerja lepasan TVET bagi menjadi tenaga kerja di syarikat-syarikat yang berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika berucap Ahmad Zahid berkata, program vokasional Jerman merupakan contoh yang baik bagi kerjasama industri - akademik.

Beliau berkata, ia menjadi model yang terbukti berjaya, diterajui oleh pemimpin industri dan dimantapkan dengan kurikulum akademik pada semua peringkat.

"Kisah kejayaan yang muncul dari Jerman, diuruskan dan dipandu oleh Dewan Perniagaan Jerman, bersama-sama syarikat seperti Bosch yang memimpin - ialah bukti keberkesanan pendekatan ini.

"Malaysia melihat kepada Jerman dengan rasa kagum dan hormat. Kita melihat dalam model anda jalan menuju kejayaan dan kita percaya ia jalan yang mesti dilalui jika ingin mendapatkan masa depan yang makmur dan mampan untuk belia dan negara kita," katanya.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyaksikan penyampaian surat lantikan rasmi oleh Ketua Pegawai Eksekutif German-Malaysian Institute Ahmad Solihin Mohamed Yusoff kepada 12 ahli Majlis Penasihat Industri antaranya wakil daripada syarikat Aerodyne Group, B.Braun Malaysia, Bermaz Auto Bhd, Bosch Rexroth Sdn Bhd, Ciba Vision (Alcon) dan Ericsson Malaysia. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!