Sokong roboh Highland Towers

Pemandangan Highland Towers dari udara - Foto Bernama. Gambar kecil: Nazri Noor, Eismael Mohamad
Pemandangan Highland Towers dari udara - Foto Bernama. Gambar kecil: Nazri Noor, Eismael Mohamad
A
A
A

HULU KELANG - Orang ramai mahu dua blok kondominium terbiar Highland Towers dirobohkan selepas terbiar sejak sekian lama dan menjadi sarang penjenayah serta aktiviti negatif lain.

Seorang peniaga, Eismael Mohamad Rashid, 27, menyokong sepenuhnya usaha pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya pihak terbabit mahu merobohkan kondominium terbiar berkenaan.

"Bagi saya lagi elok jika ia dirobohkan kerana sudah lama terbengkalai dan banyak aduan mengenai pelbagai aktiviti negatif," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Selasa.

Seorang lagi peniaga, Nazri Noor, 59, pula berpandangan, pendekatan terbaik hanya dapat diambil selepas semua pihak bersetuju untuk bekerjasama membabitkan pemilik dan PBT serta penduduk.

"Semua perkara perlu diambil kira sama ada faktor keselamatan dan sebagainya, bagi saya mungkin kawasan itu boleh dibangunkan semula dengan kemudahan lain yang memberi manfaat," katanya.

Sementara itu, kakitangan sebuah hospital swasta, Zaiti Sulaiman, 30, berkata, banyak cerita negatif mengenai kawasan 'berhantu' tersebut dan cerita seram yang disampaikan amat menakutkan

MPAJ mengadakan lawatan ke tapak bangunan terbiar itu pada Februari lalu.
MPAJ mengadakan lawatan ke tapak bangunan terbiar itu pada Februari lalu.

"Saya takut sebab dengar banyak cerita hantu, jika dirobohkan mungkin perasaan takut masyarakat akan lenyap," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Rakannya, Aisyah Kadir, 24, yang turut sependapat meminta pemilik tanah berkenaan merobohkan baki dua blok tersebut dan melakukan perubahan agar persekitarannya menjadi lebih baik dan selamat.

Terdahulu, rata-rata penduduk Taman Hillview dan Taman Sri Ukay mahu dua blok kondominium terbiar Highland Towers dirobohkan selepas ia menjadi sarang penjenayah dan penagihan dadah.

Lebih kurang 1,000 penghuni di kedua-dua taman perumahan berkenaan sebulat suara mahukan dua blok 12 tingkat berkenaan dirobohkan selepas satu bloknya runtuh lebih dua dekad lalu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin mengesahkan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerima banyak aduan membabitkan kebimbangan isu keselamatan, kacau ganggu serta aktiviti tidak bermoral di situ.

Orang ramai mahu dua blok kondominium terbiar Highland Towers dirobohkan selepas terbiar sejak sekian lama dan menjadi sarang penjenayah serta aktiviti negatif lain.
Orang ramai mahu dua blok kondominium terbiar Highland Towers dirobohkan selepas terbiar sejak sekian lama dan menjadi sarang penjenayah serta aktiviti negatif lain.

Menurutnya, susulan itu pada Sabtu lalu, satu lawatan bersama Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad serta agensi terlibat telah diadakan bagi mencari solusi kepada aduan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, isu tersebut masih dalam status perbincangan dan keberangkalian paling utama ialah bangunan terbiar itu dirobohkan kerana tidak melihat pilihan lain dalam menyelesaikan isu berbangkit.

Beliau turut berkata, objektif utama kini adalah bagi menyelesaikan aduan dan selepas dirobohkan, baru langkah seterusnya diambil termasuk apa yang perlu dilaksanakan di kawasan tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!