Orang ramai bimbang tahap keselamatan di India

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

ORANG ramai meluahkan kebimbangan berhubung detik hitam yang dihadapi oleh seorang pelancong wanita Sepanyol berusia 28 tahun apabila diperkosa secara bergilir-gilir oleh tujuh lelaki warga tempatan di India, Jumaat lalu.

Menerusi rakaman video yang menjadi tular di media sosial, mangsa yang identitinya tidak didedahkan turut menunjukkan kesan lebam pada wajahnya malah suaminya juga dipukul beberapa kali dengan topi keledar.

Blogger kembara yang mempunyai lebih 200,000 pengikut di Instagram itu menceritakan bagaimana mereka diserang ketika bermalam di bawah khemah sementara di daerah Dumka, negeri Jharkhand, terletak kira-kira 300 kilometer (km) dari Ranchi.

Menurut perkongsian di Facebook, ada yang menceritakan pengalaman bercuti di negara berkenaan dan menyatakan rasa kecewa dengan sistem perundangan di sana.

Dalam pada itu, terdapat individu yang menasihatkan orang ramai supaya membuat pertimbangan terlebih dahulu sebelum melancong ke mana-mana negara berisiko dengan ancaman berbahaya.

Katanya, India merupakan lokasi yang tidak selamat untuk dijadikan destinasi pelancongan walaupun menggunakan perkhidmatan agen kerana kadar jenayah di sana sangat tinggi.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook berkongsi pengalaman positif ketika berkunjung ke India pada 2020, namun dia menasihatkan supaya pelancong bergerak secara berkumpulan bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa jenayah.

Bagaimanapun keadaan ini sepatutnya tidak berlaku terutama di negara yang selalu menjadi tumpuan sebagai destinasi pelancongan daripada seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

Situasi itu bukan sahaja menjejaskan imej India, malah negara-negara Asia lain juga turut menerima tempias akibat peristiwa berkenaan.

Justeru, tindakan tegas perlu diambil oleh pihak keselamatan negara terbabit dan memastikan hukuman setimpal dijatuhkan terhadap perogol itu agar jenayah tersebut tidak berlaku lagi pada masa akan datang.

Pihak kerajaan atau kementerian pelancongan di negara tumpuan pelancong disaran untuk melaksanakan pelan strategik bagi menjamin keselamatan rakyat tempatan atau orang luar khususnya wanita dan kanak-kanak.

Sementara itu, bagi pengembara tidak kira sama ada secara solo atau berkumpulan pula dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan langkah berjaga-jaga ketika melancong terutamanya di tempat yang sunyi atau tiada orang.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28