Bizara 'syurga' buat anak-anak istimewa

Teacher Wan (kanan) di hadapan Bizara yang terletak di Wakaf Stan, Kubang Kerian.
Teacher Wan (kanan) di hadapan Bizara yang terletak di Wakaf Stan, Kubang Kerian.
A
A
A

KOTA BHARU - Bizara membawa maksud tempat berkumpulnya kasih sayang atau tapak semaian benih kasih sayang aroma ‘syurga’ buat anak-anak istimewa.

Pusat pendidikan khas ini ditubuhkan pada tahun 2018 oleh Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 42, dengan hanya bermodalkan RM700 serta tanpa sebarang pembiayaan daripada syarikat kewangan.

Berpengalaman 18 tahun sebagai pendidik di sebuah sekolah swasta ternama di ibu kota menjadi tunjang buat anak kelahiran Kampung Chenulang, Kuala Krai itu membangunkan ‘syurga’ buat kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).

Di Bizara, pelajar istimewa boleh naik ke pentas dan mengadakan persembahan tanpa rasa kekurangan.
Di Bizara, pelajar istimewa boleh naik ke pentas dan mengadakan persembahan tanpa rasa kekurangan.

Anak bongsu daripada tujuh beradik yang merupakan pelajar terbaik Kursus Asuhan Permata di bawah jurulatih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Asia UBS Training & Consultancy ini tekad mahu menjadikan Bizara gah sebagai ‘ruang paling unggul’ pendidikan buat pemegang kad OKU yang berusia seawal empat hingga 21 tahun.

Wan Zakaria atau lebih mesra dengan panggilan Teacher Wan berkata, Bizara ditubuhkan untuk menyediakan pendidikan khas akademik yang lengkap bagi anak-anak berkeperluan khas meliputi kategori kelainan upaya seperti disleksia, diskalkulia, keresahan atau masalah tingkah laku, autisme, sindrom down, lewat perkembangan, lembam dan sawan.

“Bizara selaku pusat berdaftar dengan JKM beroperasi sebagai sebuah pusat pendidikan khas dengan gaya pendekatan sebuah sekolah.

“Kami bermula sebagai sebuah homeschool pada tahun 2018 di Shah Alam, Selangor yang membantu murid belajar menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) termasuk masalah emosi dan perkembangan.

Artikel Berkaitan:

“Daripada apartmen ke rumah teres ke rumah semi-D dan akhirnya Bizara berada di sebuah banglo di Wakaf Stan, Kubang Kerian,” katanya kepada Sinar Harian.

Bizara telah membantu lebih 135 murid pendidikan khas dan membimbing lebih 250 ibu bapa untuk meningkatkan perkembangan anak-anak murid istimewa dan masalah pembelajaran.
Bizara telah membantu lebih 135 murid pendidikan khas dan membimbing lebih 250 ibu bapa untuk meningkatkan perkembangan anak-anak murid istimewa dan masalah pembelajaran.

Menurut beliau, sehingga hari ini, Bizara telah membantu lebih 135 murid pendidikan khas dan membimbing lebih 250 ibu bapa untuk meningkatkan perkembangan anak-anak murid istimewa dan masalah pembelajaran.

Ujarnya, melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan daripada ibu bapa di Kelantan, Bizara telah membuat keputusan untuk berhijrah ke Kubang Kerian pada penghujung tahun 2022.

Teacher Wan memberitahu, dua keluarga dan lima murid dari Selangor turut berhijrah dan mengikuti pelajaran berkualiti yang disediakan di sini.

Tambah beliau, kini Bizara terdiri daripada Bizara Educare dan Tadika Sri Bizara yang bermula dari jam 8 pagi hingga 6 petang.

“Di sini, seluruh warga pendidik diberikan latihan dan sijil daripada JKM, JPN dan penyedia latihan swasta dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak, pengajaran taska dan pendidikan khas bagi memastikan kami dapat memberikan khidmat terbaik kepada anak-anak istimewa ini.

“Tiga orang pekerja OKU turut dibimbing untuk menjodi contoh tauladan kepada murid-murid serta masyarakat sekeliling,” katanya.

KASIH SAYANG

Teacher Wan memberitahu, Bizara memberi fokus kepada mencungkil kelebihan, kekuatan anak-anak OKU bagi membolehkan mereka memahami dunia ini juga perlukan sumbangan orang istimewa.

Pelajar diterapkan dengan nilai kasih sayang, menyelami dunia mereka tanpa prejudis.
Pelajar diterapkan dengan nilai kasih sayang, menyelami dunia mereka tanpa prejudis.

Ujar beliau, pelajar di sini diterapkan dengan nilai kasih sayang, menyelami dunia mereka tanpa prejudis serta yang paling utama jangan sesekali syak wasangka terhadap mereka.

“Contoh boleh dilihat apabila sesiapa sahaja melangkah ke Bizara, suasana persekitaran, perhiasan di sini langsung tidak diusik oleh anak-anak istimewa malah terletak seeloknya.

“Ini kerana mereka di sini memahami, menghayati serta kami (tenaga pengajar) yakin dengan mereka.

“Di Bizara, pelajar istimewa kami boleh naik ke pentas dan mengadakan persembahan tanpa rasa kekurangan,” katanya.

Beliau memberitahu, terkini Bizara melangkah setapak lagi dengan pembelajaran al-Quran secara harfiah dengan menggunakan aplikasi digital Think Quran.

Ujarnya, ia terbukti sesuai dengan kalimat ‘didiklah anak anakmu sesuai dengan kecerdasan zaman’.

“Alhamdulillah, anak-anak istimewa menerima baik dan amat teruja.

“Mereka memberi maklum balas luar biasa dan sentiasa menunggu masa untuk belajar al-Quran menggunakan teknologi ini,” katanya.

Teacher Wan memberitahu, pihaknya bersyukur kerana hasrat untuk memperkenalkan anak-anak istimewa lebih dekat mengenal Tuhan dengan mendalami ayat-ayat suci al-Quran tercapai, sekali gus membina akhlak yang baik dan cerdik.

Beliau berkata, bilik Dar Al Salam Think Quran di Bizara telah disempurnakan pembukaannya oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Kelantan, Mohd Hassany Hashim pada 19 Februari lalu.