Saksi akui tidak beritahu SPRM RM2 juta untuk Lim Guan Eng

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi utama pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini beliau tidak pernah menyatakan wang RM2 juta bertujuan diberikan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mengakui perkara tersebut ketika dirujuk kepada pernyataan beliau yang direkod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi kes membabitkan ahli perniagaan, G Gnanaraja di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 2018.

Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membenarkan permohonan Guan Eng untuk memulakan prosiding mencabar kredibilti Zarul Ahmad setelah mendapati wujud percanggahan dalam kenyataan saksi itu kepada SPRM dengan kenyataannya di Mahkamah Sesyen di sini.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Guang Eng menyoal saksi tersebut sekiranya beliau bersetuju berkenaan baucar pembayaran dalam bentuk cek berjumlah RM2 juta bertarikh 17 Ogos 2017 adalah sama dengan cek yang dirujuk di hadapan mahkamah dalam kes yang sedang dibicarakan.

Zarul Ahmad menjawab "ya".

Haijan: Setuju dengan saya bahawa RM2 juta ini (yang didakwa diberikan kepada Guan Eng) adalah sebahagian daripada RM19 juta yang kamu berikan kepada Gnanaraja.

Zarul Ahmad: Ya.

Haijan: Setuju dengan saya dalam pernyataan kamu ini (kepada SPRM) kamu langsung tidak menyatakan bahawa cek RM2 juta ini adalah untuk Lim Guan Eng?

Artikel Berkaitan:

Zarul Ahmad: Pada ketika itu, ya betul.

Haijan: Setuju dengan saya dalam pemikiran kamu ketika itu wang RM2 juta ini kamu berikan kepada Gnanaraja untuk menyelesaikan kes yang kamu hadapi dengan SPRM dan untuk mendekati bekas Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

Zarul Ahmad: Saya tidak bersetuju, Yang Arif. Saya ingin beri penjelasan.

Haijan berkata, saksi itu tidak perlu berbuat demikian (memberikan penjelasan) dan hanya perlu menjawab dengan "ya" atau "tidak", namun, Zarul Ahmad yang tidak berpuas hati membalas "Jika anda beri saya kebenaran untuk menjawab, saya akan jawab".

Azura kemudian menerangkan semula kepada Zarul Ahmad, beliau seharusnya menjawab bersetuju atau tidak bagi setiap soalan yang dikemukakan pembelaan dan boleh memberikan penjelasan lanjut ketika pemeriksaan oleh pihak pendakwaan kelak.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Perbicaraan bersambung Rabu ini (6 Mac).

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad bagi dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah, bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Guan Eng didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28