Kapal asing terbabit baiki kabel dasar laut dikecuali dasar kabotaj

Anthony Foto Fail Bernama
Anthony Foto Fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan setuju melaksanakan pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal asing yang terlibat dalam semua kerja membaiki kabel dasar laut bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dalam industri pusat data dan merancakkan pertumbuhan ekonomi digital.

Dalam sidang media khas pada Jumaat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini.

"Keputusan (pengecualian) ini adalah susulan daripada pelbagai sesi libat urus dengan syarikat-syarikat gergasi teknologi maklumat antarabangsa dalam tempoh beberapa bulan yang lalu dan membuktikan kerajaan Madani mengamalkan dasar mesra pelabur,” katanya.

Dasar kabotaj Malaysia diwujudkan untuk menggalakkan dan membangunkan industri pemilikan perkapalan negara yang teguh di samping mengurangkan pergantungan negara terhadap kapal asing dan aliran keluar pertukaran asing dalam bentuk pembayaran barangan.

Susulan keputusan Jemaah Menteri itu, Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk proses perwartaan.

"Tarikh kuat kuasa terhadap semua keputusan ini akan dimaklumkan kelak, jangkaan kuat kuasa dijangka dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

Selain itu, Anthony berkata, Jemaah Menteri turut bersetuju pelaksanaan semula dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sarawak.

Langkah berkenaan diambil atas permintaan kerajaan Sarawak untuk menyokong pertumbuhan industri perkapalan tempatan yang terancam dengan pengecualian dasar kabotaj sejak 1 Jun 2017.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan negeri Sarawak telah pun memberi maklum balas kepada Kementerian Pengangkutan bahawa pengecualian dasar kabotaj untuk Sarawak telah membantutkan perkembangan industri perkapalan khususnya di Sarawak.

"Sebelum pengecualian dasar kabotaj, ada 12 syarikat perkapalan Malaysia yang aktif dalam perkhidmatan kargo tetapi selepas beberapa tahun ini, tinggal hanya lima syarikat yang aktif dan dasar kabotaj perlu dilaksanakan semula untuk membantu pertumbuhan sektor perkapalan tempatan khususnya di antara Semenanjung ke Sarawak,” katanya.

Anthony berkata, pengecualian dasar kabotaj untuk kapal-kapal yang menjalankan perkhidmatan kargo dari Semenanjung ke Sabah dan Labuan pula dikekalkan selaras pendirian kerajaan Sabah. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28