Kerja keras, Emma pernah berpantang di lokasi penggambaran

Emma Maembong. Foto: MIG
Emma Maembong. Foto: MIG
A
A
A

PERJALANAN wanita ini dalam bidang seni tidak pernah berlalu dengan begitu mudah. Sejak awal lagi, ada sahaja gosip liar dan kontroversi yang melatari kerjayanya.

Dari kisah cinta sehinggalah keputusan peribadi berkaitan imej dan kerjaya seni, semuanya sudah ditelan pemilik nama glamor, Emma Maembong ini.

Meskipun ada ketikanya kisah yang datang itu bak kaca yang menghiris jiwa, bintang berusia 31 tahun ini tetap tabah mengharungi.

Justeru apabila timbul gosip liar yang mengatakan beliau pernah bertukar pasangan (swinger), pemilik nama sebenar Fatimah Rohani Ismail itu masih mampu menangkis dalam senyum.

Tidak melatah dan tenang menafikan, Emma menyifatkan, fitnah seperti itu ibarat ‘kawan rapat’ yang tidak boleh dipisahkan.

Malah beliau merasakan pernah melalui fasa yang lebih sukar dalam hidup, terutamanya sebelum membuat keputusan mengahwini suaminya, Muhammad Shazli Azhar pada 20 Februari 2020.

“Sampai sekarang ada saja orang nak cakap itu ini pada saya. Kalau saya rasa tak ada kena mengena (dakwaan tidak benar), saya enggan layan.

“Jika sememangnya tuduhan itu betul, saya sendiri yang akan mengaku, tapi kalau sudah melampau, negara kita ada undang-undang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Emma menyifatkan, fitnah seperti itu ibarat ‘kawan rapat’ yang tidak boleh dipisahkan. Foto MIG
Emma menyifatkan, fitnah seperti itu ibarat ‘kawan rapat’ yang tidak boleh dipisahkan. Foto MIG

Emma berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Jangan Pandang Belakang 2 di pejabat MIG baru-baru ini.

Tambah aktres yang mula meledak menerusi siri Projek Memikat Suami itu, dua cahaya matanya; Muhammad Shazli, 4; dan Shakil Aryan Shah, sembilan bulan, menjadi antara pembakar semangatnya dalam apa jua yang dilakukan.

"Selain mama dan ayah, anak-anak juga menjadi penguat semangat untuk saya. Jadi saya hanya mahu jadi ibu yang terbaik buat anak saya dan bekerja keras untuk mereka," katanya.

Dalam pada itu, akui Emma, semenjak melahirkan anak keduanya pada 10 Mei 2023, tawaran berlakon sememangnya tidak pernah putus.

Malah beliau pernah melalui tempoh berpantang di lokasi penggambaran dan masih terikat dengan beberapa projek 'back to back'.

"Bagi saya ini rezeki anak kedua saya kerana tawaran berlakon memang tidak putus. Tidak dinafikan jadual saya agak padat, tetapi saya cuba sedaya upaya luangkan masa bersama anak-anak.

"Suami pun memahami walaupun pada awalnya, dia minta saya bekerja dari 10 pagi hingga 10 malam sahaja, tetapi bila sudah menjadi anak seni, sukar untuk bekerja dalam tempoh waktu seperti itu.

"Jadi kalau ada babak melibatkan pusat membeli-belah atau taman permainan, saya akan minta pembantu atau suami datang bawa anak-anak," katanya yang tidak kisah seandainya dua puteranya itu berminat untuk menjadi pelakon pada masa akan datang.

Cabaran

Sementara itu, mengulas penglibatannya dalam filem Jangan Pandang Belakang 2 yang menyaksikan Pierre Andre kembali ke kerusi pengarahan, Emma berkata, beliau terkejut apabila ditawar membawakan watak utama sebagai Lin.

Filem yang merupakan kesinambungan kepada filem box-office pada tahun 2007 iaitu Jangan Pandang Belakang itu turut dibintangi Mawar Rashid, Iedil Dzuhrie Alaudin, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek dan Cat Farish.

"Watak Lin memang sudah ada dalam filem pertama, tetapi kali ini wataknya dikembangkan sebagai teraju utama.

"Sejujurnya kalau ini filem baru, saya tidaklah gementar untuk menjayakannya, tetapi disebabkan ia kesinambungan daripada naskhah pecah panggung, memang saya takut juga.

"Saya ambil kepercayaan ini sebagai satu cabaran, fokus pada watak tetapi bukan pada tajuk dan mahu buat yang terbaik," jelasnya yang mengakui karakter seram lebih memberi cabaran berbanding watak lain.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28