Dua warga emas rentung ditemui bawah timbunan bumbung

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan 13 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Ahad.
Anggota bomba berusaha memadam kebakaran melibatkan 13 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Ahad.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua warga emas ditemui rentung dalam kebakaran 16 rumah setinggan di hadapan Scoot Garden, Jalan Klang Lama dekat sini, awal pagi Ahad.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.57 pagi berhubung kebakaran tersebut.

Menurut kenyataan itu, seramai 46 anggota pelbagai pangkat terdiri daripada tujuh balai bersama 11 jentera termasuk 'air lifting platform' (ALP) dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran itu telah menyebabkan 13 rumah setinggan hangus terbakar.

"Keluasan keseluruhan kawasan perumahan tersebut adalah 30.48 meter persegi dan terbakar 100 peratus," katanya pada Ahad.

Kejadian kebakaran melibatkan 13 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Ahad.
Kejadian kebakaran melibatkan 13 rumah setinggan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Ahad.

Tambah kenyataan itu, operasi memadam menggunakan sumber air daripada jentera dan 'water tanker' telah berjaya dikawal sepenuhnya jam 6.05 pagi.

"Dalam kejadian tersebut, dua mangsa ditemukan rentung di bawah runtuhan bumbung rumah.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua mangsa dikenal pasti adalah warga emas berusia 60-an," katanya.

Jelas kenyataan itu, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, dalam kejadian terbabit pihak bomba menemukan dua mangsa lelaki dalam keadaan rentung dan telah meninggal dunia.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dibawa ke Bahagian Forensik dan Patologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.

Jelasnya, polis telah membuka kertas siasatan laporan mati mengejut (SDR) dan pihak forensik bomba juga meneruskan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Menurutnya, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati sebanyak 16 rumah setinggan telah terbakar.

"Pihak Polis Brickfields meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan sesuatu berita yang tidak pasti.

"Sebarang maklumat berkenaan kes ini boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222," ujarnya.