KWSP kekal pelabur terbesar pasaran domestik, AUM RM702 bilion

Ahmad Zulqarnain ketika sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di Kwasa Damansara pada Ahad.
Ahmad Zulqarnain ketika sesi taklimat prestasi kewangan KWSP di Kwasa Damansara pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion pada Disember 2023, berbanding RM643.38 bilion pada 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, pelaburan dalam pasaran domestik melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023.

Menurutnya, KWSP turut memegang kira-kira 28 peratus daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia dalam tempoh berkenaan.

"Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100 dan 31 peratus untuk saham FBMKLCI.

"Penyertaan ini termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik, yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu.

"Jumlah suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion," katanya pada sesi taklimat kewangan KWSP di sini pada Ahad.

Dalam pada itu beliau berkata, suntikan dana berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha diversifikasi jangka panjang KWSP untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset.

Sementara itu Ahmad Zulqarnain berpandangan ringgit kini diniagakan di bawah nilai yang sebenar (undervalued).

Artikel Berkaitan:

“Bagaimana kami menguruskan pelaburan adalah dengan membuat keputusan untuk melihat sama ada sesuatu aset itu terkurang nilai (undervalued) atau tidak.

"Ia bukanlah satu-satunya faktor, namun menjadi antara faktor yang dipertimbangkan.

“Secara asasnya apabila sesuatu itu terkurang nilai, kami cenderung untuk membuat keuntungan daripada pelaburan berkaitannya,” ujarnya.

Mengenai jumlah pencarum dana persaraan itu, beliau memaklumkan, angka terus meningkat kepada 16.1 juta tahun lalu berbanding 15.7 pada 2022, manakala bilangan ahli aktif sebanyak 8.5 juta meskipun dalam persekitaran mencabar.

“Peratusan ahli yang mencapai tahap simpanan asas iaitu pada paras RM240,000 di usia 55 tahun meningkat kepada 33 peratus dalam kategori ahli aktif sektor formal, iaitu 2.4 juta daripada 7.3 juta ahli," jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28