UniKL azam rampas Piala Sumbangsih

Pasukan hoki UniKL -Foto UniKL
Pasukan hoki UniKL -Foto UniKL
A
A
A

SKUAD hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) berazam merampas trofi Piala Sumbangsih apabila sekali lagi berdepan Kelab Hoki Terengganu (THT) bagi aksi pembukaan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2020 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, esok

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, selain merampas trofi berkenaan, pemain UniKL perlu memenangi perlawanan berkenaan bagi meraih tiga mata berharga dalam saingan liga musim ini.

"Tahun ini keutamaan kita adalah untuk dapatkan tiga mata untuk dibawa ke liga. Kalau dapat trofi itu, bonus untuk kita.

"Yang penting, kita perlu turunkan barisan pemain yang betul dan bertahan dengan baik pada perlawanan ini," katanya pada sidang media sempena majlis pengenalan jurulatih dan pemain skuad UniKL bagi menghadapi cabaran MHL 2020 di Stadium Tengku Abdullah, Bangi.

Dalam pada itu Arul berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan penjaga gol Adrian Andy Albert yang menggantikan David Harte untuk mengawal benteng UniKL pada perlawanan berkenaan.

"Kami pastinya merasai ketiadaan Harte yang akan terlepas dua perlawanan tetapi saya yakin dengan kemampuan pengganti, Adrian Andy Albert untuk mengawal gawang pasukan.

“Selain itu, hampir 70 peratus daripada skuad ini sudah beraksi bersama dalam lima musim dan keserasian itu diharapkan dapat membantu cabaran kami kali ini,” ujar Arul.

Sementara itu, pengurus yang juga Pengarah Sukan UniKL, Jaldin Ahmad berkata, UniKL turut menyasarkan untuk merangkul gelaran berganda musim ini berdasarkan kemampuan yang dimiliki oleh barisan pemain UniKL.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sasaran berkenaan boleh direalisasikan berikutan kejayaan menjuarai saingan liga tahun lalu selain memenangi Piala TNB pada musim 2018 lalu.

“Untuk saingan kali ini, kami mengekalkan hampir keseluruhan pemain musim lalu termasuk bekas pemain kebangsaan Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil bagi memperkuatkan cabaran UniKL.

"Kita juga memiliki pemain kebangsaan yang akan beraksi untuk UniKL musim ini seperti Muhamad Razie Abdul Rahim, Sukri Abdul Mutalib, Marhan Abdul Jalil, Muhamad Najmi Farizal Jazlan, Muhammad Ashran Hamsani serta Baljit Singh," katanya.