Beras import RM9.90 licin dalam masa 15 minit

Murtadhatumizi (dua dari kanan) turut sama turun padang menjual beras import pada harga murah kepada rakyat Kelantan pada Ahad.
Murtadhatumizi (dua dari kanan) turut sama turun padang menjual beras import pada harga murah kepada rakyat Kelantan pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Beras import seberat lima kilogram yang dijual pada harga RM9.90 licin dalam masa 15 minit pada Ahad.

Jualan amal yang diadakan sempena menyambut Ramadan itu menyediakan sebanyak 2,000 kampit beras import dari Thailand khas untuk rakyat Kelantan.

Pengarah Urusan MZ Gold Sdn Bhd, Murtadhatumizi Mustapha berkata, ia merupakan salah satu khidmat masyarakat bagi meringankan beban orang ramai untuk menyambut Ramadan susulan keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini.

"Kita sedia maklum bulan ini sangat sukar apabila perlu berdepan dengan pembukaan penggal baharu persekolahan serta menyambut Ramadan.

"Jadi banyak keperluan yang perlu disediakan. Disebabkan itu kami mengambil peluang ini untuk berkongsi rezeki," katanya.

Orang ramai beratur panjang bermula jam 10 pagi lagi walaupun jualan bermula jam 12 tengah hari.
Orang ramai beratur panjang bermula jam 10 pagi lagi walaupun jualan bermula jam 12 tengah hari.

Beliau berkata, pihaknya sedang membuat perancangan untuk membuat jualan beras import murah itu di cawangan MZ Gold yang lain seperti di Kuala Krai dalam masa terdekat.

Menurutnya, diharap dengan cara ini ia dapat memberi contoh atau inspirasi kepada pihak lain untuk sama-sama membantu rakyat yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

Maria (kiri), Wan Raziah (kanan).
Maria (kiri), Wan Raziah (kanan).

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Maria Mohd Zain, 43, yang mempunyai empat orang anak berkata, dia tidak melepaskan peluang tersebut dan sanggup datang beratur seawal jam 10 pagi walaupun jualan bermula jam 12 tengah hari.

"Beras import yang dijual dengan harga RM9.90 sekampit sangat murah kerana ia separuh daripada harga asal.

"Alhamdulillah saya dapat membeli dua kampit beras dan ia dapat digunakan sepanjang Ramadan nanti," katanya.

Bagi tukang masak kantin, Wan Raziah Wan Ayob, 27, pula memberitahu, dia sanggup datang bersama adik-beradiknya yang lain ke Kota Bharu dari Pasir Tumbuh semata-mata mahu membeli beras import pada harga murah.

Katanya, ia sangat berbaloi walaupun perlu beratur panjang sekurang-kurangnya dapat meringankan beban suami yang bekerja sendiri.

"Terima kasih kepada MzGold, diharap ramai lagi pihak dapat berbuat begini pada masa akan datang," katanya.