Lelaki rugi lebih RM400,000 terpedaya janji kenalan

Seorang lelaki kerugian RM427,940 selepas terpedaya dengan seorang individu baru dikenali untuk urusan pengeluaran wang yang menjanjikan bayaran balik berserta komisen. Gambar hiasan
Seorang lelaki kerugian RM427,940 selepas terpedaya dengan seorang individu baru dikenali untuk urusan pengeluaran wang yang menjanjikan bayaran balik berserta komisen. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki kerugian RM427,940 selepas terpedaya dengan seorang individu baru dikenali untuk urusan pengeluaran wang yang menjanjikan bayaran balik berserta komisen.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, mangsa yang berusia 45 tahun mendakwa diperkenalkan kepada seorang lelaki tempatan yang mengatakan mempunyai wang berjumlah RM25 juta dimasukkan ke akaun bank miliknya dari luar negara, pada November 2021.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian meminta pertolongan mangsa untuk memberikan wang bagi membayar pelbagai kos seperti cukai kerajaan untuk kemasukan wang RM25 juta itu, serta menjanjikan bayaran balik dan komisen berjumlah RM6 juta.

"Mangsa ditunjukkan beberapa dokumen bagi meyakinkan bahawa wang RM25 juta berkenaan benar-benar wujud. Mangsa kemudian memasukkan wang ke empat akaun berbeza melibatkan 98 transaksi dengan jumlah keseluruhan RM427,940, bermula Disember 2021 hingga Jun 2023.

"Bagaimanapun, pada Julai 2023 lelaki terbabit masih meminta mangsa membuat bayaran menyebabkan mangsa mula curiga dan menuntut kembali wangnya,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohd Sohaimi berkata, mangsa percaya telah ditipu selepas lelaki terbabit gagal dikesan dan dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, semalam.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada,” katanya. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: