Gelap mata mahu untung cepat, lelaki rugi lebih RM840,000

Seorang lelaki kerugian RM846,500 selepas terpedaya dengan pelaburan menerusi laman web sebuah syarikat. - Gambar hiasan
Seorang lelaki kerugian RM846,500 selepas terpedaya dengan pelaburan menerusi laman web sebuah syarikat. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM846,500 dipercayai akibat terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi laman web sebuah syarikat dengan keuntungan lumayan dalam tempoh tiga jam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kejadian membabitkan lelaki berusia 49 tahun yang kini menetap di Australia itu menerusi seorang peguam pada Jumaat lepas.

"Kejadian bermula pada 16 September lepas apabila mangsa menerima tawaran melalui laman web syarikat untuk melabur sebanyak AS$18,888 dan akan menerima keuntungan AS$100,000 dalam tempoh tiga jam selepas itu.

"Tawaran itu dikatakan diberi bersempena dengan ulang tahun ke-10 syarikat dan mangsa percaya dengan keuntungan yang ditawarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah melakukan 12 transaksi pembayaran ke dalam tiga akaun bank Malaysia yang keseluruhannya berjumlah RM846,500 antara 16 September hingga 26 September, namun setelah bayaran dibuat mangsa tidak menerima pulangan yang dijanjikan dan percaya dirinya telah ditipu.

Mohd Sohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada. - Bernama

Artikel Berkaitan: