Menantu, bapa mentua bertengkar sebelum kenderaan terjunam ke laut

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

LAHAD DATU - Berlaku pertengkaran antara kedua-dua mangsa sebelum kenderaan yang mereka naiki terjunam ke laut dalam kejadian di kawasan ternakan ikan di Kampung Payang di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10 malam.

"Menurut saksi, seorang lelaki berusia 26 tahun telah bertengkar dengan bapa mentuanya dan telah ditenangkan oleh saksi semasa kejadian.

"Saksi kemudian menyuruh lelaki tersebut menghantar bapa mentuanya balik ke rumah dan balik semula ke lokasi untuk mengambil ahli keluarga lain.

"Semasa dalam kenderaan lelaki tersebut sebagai pemandu manakala bapa mentuanya duduk di bahagian tempat duduk penumpang bahagian belakang dan saksi sendiri yang mengiringi mereka ke dalam kenderaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, pada masa kejadian tiba-tiba kenderaan tersebut dipandu secara meluru dan seterusnya terjunam ke dalam laut.

"Kedua-dua mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan berjaya dikeluarkan dengan bantuan pihak bomba dan orang awam di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan, punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu tersebut kerana gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kenderaan tersebut terjunam.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, sampel darah kedua-duanya telah diambil untuk dianalisis dan siasatan kes diteruskan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sehubungan itu, Jimmy berkata, mana-mana individu yang menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089-881255 dengan 414 bagi membantu siasatan.

Sinar Harian sebelum itu melaporkan, dua lelaki dikenali sebagai Edwin dan bapa mentuanya, Chan Wai Hou, 66, maut selepas kereta Perodua Myvi terjunam ke dalam laut.

Kedua-dua mangsa ditemukan pasukan penyelamat pada kedalaman 12 meter.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28