Angan miliki Ducati Panigale V4S tercapai

Mohd Hidayat menunjukkan tanda bagus selepas memenangi motosikal Ducati Panigale V4 pada program RXZ Fighter Gathering di Serambi Teruntum pada Sabtu.
Mohd Hidayat menunjukkan tanda bagus selepas memenangi motosikal Ducati Panigale V4 pada program RXZ Fighter Gathering di Serambi Teruntum pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang mekanik menerima durian runtuh apabila membawa pulang sebuah motosikal Ducati Panigale V4S pada program RXZ Fighter Gathering di Serambi Teruntum pada Sabtu.

Mohd Hidayat Alimin, 37, dari Kuantan, mengakui tidak menyangka memenangi hadiah utama dalam cabutan bertuah tersebut.

Menurutnya, sebelum itu dia ada memasang impian untuk memiliki motosikal berkuasa tinggi terbabit.

"Saya mulanya berangan saja, tapi Alhamdulillah rezeki ALLAH bagi dekat saya dan tidak tahu apa hendak cakap sebab terlalu gembira," katanya ketika ditemui selepas berakhir Program RXZ Fighter Gathering di Serambi Teruntum pada Sabtu, petang.

Lebih 50,000 peminat permotoran dan pengunjung memeriahkan program tersebut dengan pelbagai acara menarik disediakan sepanjang dua hari berlangsung.

Bapa kepada seorang anak itu memberitahu, seakan tidak percaya apabila nombor miliknya dibaca berulang kali oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.

"Macam tidak percaya betul ke tidak, saya takut tersalah satu angka (nanti) malu pula. Tapi, Alhamdulillah, motosikal ini sudah jadi milik saya," ujarnya.

Isterinya, Shazatul Husna Shari, 35, turut bersyukur dengan rezeki yang diperoleh oleh suami.

Artikel Berkaitan:

Guru sekolah swasta itu berkata, rakan ada menghubunginya untuk memberitahu suami menang hadiah utama cabutan bertuah.

"Saya ingatkan kawan main-main (bergurau) sebab masa itu kami sedang berniaga," katanya yang masih terkejut dengan pengumuman tersebut.

Sementara itu, penjual goreng pisang, Mohd Aidil Fitri Mat Ripin, 27, dari Pasir Tumbuh, Kelantan, berkata, niat untuk memiliki Yamaha RXZ milik sendiri tercapai.

Mohd Aidil Fitri gembira kehadiran dari Kelantan ke Kuantan membawa tuah apabila memenangi motosikal Yamaha RXZ.
Mohd Aidil Fitri gembira kehadiran dari Kelantan ke Kuantan membawa tuah apabila memenangi motosikal Yamaha RXZ.

Menurutnya, kehadirannya ke Kuantan pada Sabtu berbaloi apabila memenangi cabutan bertuah itu.

"Perasaan (saya) gembira, bersyukur sebab sudah lama impikan RXZ, (dan) insya-ALLAH ini adalah rezeki.

"Saya hendak simpan RXZ ini sebagai kenangan," katanya yang tiba di Serambi Teruntum jam 4 pagi pada Sabtu.

Mohd Aidil Fitri turut berterima kasih kepada kerajaan Pahang kerana menganjurkan program ini dan mahu ia diteruskan pada masa akan datang

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28