[VIDEO] 'Kami sedar menumpang, tak kacau orang' - Ketua Komuniti Rohingya

A
A
A

SEREMBAN - Komuniti Rohingya di Taman Jujur, Sikamat di sini sedar bahawa mereka hanya menumpang di kawasan itu, malah bersyukur kerana dapat hidup dalam keadaan lebih baik.

Ketua Komuniti Rohingya Taman Jujur, Harun Rashid Md Habi, 51, yang berhijrah di situ sejak tahun 1995 berkata, pada awalnya hanya empat keluarga Rohingya yang tinggal di situ dan kini mempunyai seramai 1,500 orang termasuk kanak-kanak.

Taman Jujur didakwa menjadi penempatan etnik Rohingya teramai di Seremban
Taman Jujur didakwa menjadi penempatan etnik Rohingya teramai di Seremban

"Tapi sekarang kebanyakannya orang baharu dan ada 135 rumah penduduk Rohingya di sini yang kebanyakannya bekerja sebagai buruh.

"Kami tak pernah kurang ajar dengan orang tempatan. Kita tahu ini tempat orang dan hanya tinggal sementara. Jadi, kami berusaha untuk hormati budaya di sini," katanya.

Namun dia tidak menafikan ada yang bermasalah sekali gus mengakibatkan persepsi negatif dilemparkan terhadap mereka semua.

Harun (kiri) bersantai bersama penduduk Rohingya di Taman Jujur Sikamat.
Harun (kiri) bersantai bersama penduduk Rohingya di Taman Jujur Sikamat.

Tambahnya, dia juga sering menasihatkan mereka supaya mengikut budaya Malaysia dan tidak menimbulkan masalah.

Artikel Berkaitan:

"Kita datang Malaysia pun, kita tak tahu cakap Melayu. Tapi lama-lama pandai juga. Jadi saya minta mereka berubah.

"Di Taman Jujur ini sebelum ini tiada masalah jika dibandingkan dengan negeri lain.

"Saya jaga mereka, jika ada yang buat masalah atau langgar undang-undang, saya sendiri akan laporkan kepada polis," katanya.

Disebabkan itu dia berharap, masyarakat tempatan dapat menerima kehadiran mereka di situ.

Pada masa sama katanya, mereka juga bersedia memberi kerjasama sebaik mungkin dengan penduduk tempatan atau polis sekiranya timbul masalah membabitkan Rohingya.

Sebuah rumah di Taman Jujur disewa untuk dijadikan surau komuniti Rohingya
Sebuah rumah di Taman Jujur disewa untuk dijadikan surau komuniti Rohingya

"Kami tak kacau orang. Tapi saya tak kata semua orang Rohingya betul, ada juga yang minum, ambil dadah dan pecah rumah.

"Cuma sebagai antara paling lama di sini, saya akan pastikan tiada yang cuba timbulkan masalah kerana kita tahu kita orang luar," katanya.

Sebelum ini media melaporkan Taman Jujur di Sikamat yang dipercayai menjadi perkampungan etnik Rohingya sejak hampir 20 tahun diserbu pihak berkuasa dalam satu operasi bersepadu.

Hasil operasi tersebut seramai 335 Rohingya diperiksa dan 29 daripadanya ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28