[VIDEO] Dengar ular sawa 'menangis' awal pagi

A
A
A

SEREMBAN - Tugas menangkap ular berbisa bukan suatu yang mudah kerana jika tersilap langkah, pasti buruk padahnya.

Ini kerana bukan calang-calang orang mampu berdepan dengan reptilia terbabit.

Namun bagi tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan yang baharu berusia 20-an ini, tugas tersebut sudah menjadi sebahagian daripada asam garam mereka.

Setiap daripada mereka telah menyertai lebih 1,000 operasi menangkap ular sepanjang enam tahun berkhidmat, malah ada antaranya mempunyai pengalaman misteri ketika operasi disertai.

Dari kiri; Abdul Qayyum, Syarima dan Muhammad Syahir menunjukkan aksi menangkap ular sawa batik.
Dari kiri; Abdul Qayyum, Syarima dan Muhammad Syahir menunjukkan aksi menangkap ular sawa batik.

Berkongsi cerita dengan Sinar Harian, Syarima Umira Mohamed Khanafi, 24, berkata, pengalaman itu dilalui ketika dia menangkap ular sawa sepanjang tiga meter (10 kaki) di sebuah rumah lama di Labu, lima tahun lalu.

"Kes itu kira-kira jam 4 pagi dan sebaik kami sampai di rumah pengadu, ular itu didapati sedang melingkar di atas alang rumah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nazri dan Syarima Umira
Mohd Nazri dan Syarima Umira

"Sebaik kami berjaya menangkapnya dan nak masukkan ke dalam guni, ular itu tiba-tiba berbunyi seperti tangisan puntianak. Itu pertama kali saya dengar," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia dan pasukannya berdepan situasi itu dengan tenang walaupun ia agak menyeramkan.

Anak bongsu daripada lapan beradik itu turut mengakui masih mempunyai perasaan takut setiap kali berdepan reptilia terbabit.

"Yalah, itu haiwan berbisa. Tapi yang penting jangan panik bila kendalikannya kerana ia boleh mengesan degupan jantung kita.

"Saya pun hanya selepas dua bulan baharu betul-betul berani sertai operasi menangkap ular," katanya.

Muhammad Syahir Ruddin Adlie Abdul Malik, 25, pula berkata, banyak pengalaman sukar dilupakan ketika terlibat dalam operasi menangkap ular antaranya ketika operasi di sebuah rumah di Gadong Jaya pada empat tahun lalu.

Katanya, berlaku kejadian mistik apabila mereka didakwa 'mengejar' ular tedung selar yang tiada.

Mengendalikan ular memerlukan kemahiran dan keberanian.
Mengendalikan ular memerlukan kemahiran dan keberanian.

"Rupa-rupanya apa yang saya nampak itu bukannya ular kerana orang lain yang ada di situ kata ia bukan ular.

"Itu antara sebahagian cerita yang saya lalui sepanjang terlibat dalam operasi ini. Tapi saya bersyukur kerana setakat ini tiada kejadian buruk berlaku," katanya

Selain itu, Abdul Qayyum Azmi, 24, berkata, sepanjang perkhidmatannya, dia pernah digigit lapan ekor ular ketika operasi menangkap haiwan tersebut, namun bernasib baik kerana ia tidak berbisa.

Bagaimanapun katanya, insiden itu tidak sedikit pun mematikan keberaniannya untuk berdepan haiwan berkenaan.

Ular tedung selar antara spesis ular yang ditangkap APM.
Ular tedung selar antara spesis ular yang ditangkap APM.

"Sememangnya ibu bapa risau dengan tugasan saya, tapi saya selalu minta mereka mendoakan supaya semuanya dipermudahkan.

"Sebagai anggota APM, kami perlu bersedia berdepan apa saja tugasan diberi dan yang penting aspek keselamatan perlu diberi keutamaan," katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata, pihaknya menjangkakan kes menangkap ular akan terus meningkat berikutan keadaan cuaca panas.

“Bila musim panas ini selalunya ular ini akan mencari tempat sejuk atau redup untuk bersembunyi, jadi kita mesti berhati-hati.

Tiga ekor ular sawa yang berjaya ditangkap APM
Tiga ekor ular sawa yang berjaya ditangkap APM

"Dalam tempoh dua bulan ini saja, sebanyak 526 kes tangkapan ular diterima dengan Seremban merekodkan kes tertinggi iaitu 432 kes," katanya.

Dalam pada itu beliau menasihatkan mangsa patukan ular supaya bertenang dan mengenal pasti spesis reptilia tersebut kerana ia akan membantu doktor atau paramedik memberi rawatan yang lebih pantas serta bersesuaian.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28