Treler terbalik, Lebuhraya PLUS arah selatan sesak lebih 20km

Treler muatan tepung terbalik mengakibatkan kesesakan teruk di lebuh raya laluan antara Simpang Pulai ke Gopeng pada Sabtu. Foto Bomba Perak
Treler muatan tepung terbalik mengakibatkan kesesakan teruk di lebuh raya laluan antara Simpang Pulai ke Gopeng pada Sabtu. Foto Bomba Perak
A
A
A

IPOH - Sebuah treler membawa muatan tepung terbalik mengakibatkan kesesakan teruk sepanjang Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat Simpang Pulai ke Gopeng di sini pada Sabtu.

Kemalangan di Kilometer 292.1 sekitar jam 9 pagi itu berlaku apabila treler dipandu seorang lelaki hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan menyebabkan lorong kanan di kedua-dua arah terhalang.

PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X memaklumkan, aliran trafik sesak 23 kilometer akibat lorong kanan yang masih ditutup.

Setakat jam 12.10 tengah hari, kerja pengalihan treler masih dilakukan dan lorong kecemasan dibuka kepada kenderaan lain bagi mengurangkan kesesakan.

Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat mengeluarkan pemandu treler yang tersepit. Foto Bomba Perak
Anggota bomba melakukan kerja-kerja menyelamat mengeluarkan pemandu treler yang tersepit. Foto Bomba Perak

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pemandu treler berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian dada dan kaki akibat tersepit.

"Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan menggunakan power unit dan rescue tool sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.

"Kerja-kerja pembersihan jalan dilakukan bagi memastikan keadaan benar-benar selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai dan Gopeng itu tamat pada jam 11.08 pagi.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28