Premis hiburan tanpa lesen diserbu, jual minuman keras tanpa cukai

Anggota pasukan D3 JSJ Bukit Aman dan JAIS membuat pemeriksaan dalam Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. Foto ihsan PDRM.
Anggota pasukan D3 JSJ Bukit Aman dan JAIS membuat pemeriksaan dalam Op Bersepadu di sebuah pusat hiburan di Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu. Foto ihsan PDRM.
A
A
A

PETALING JAYA - Sebuah premis hiburan diserbu Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman kerana beroperasi tanpa lesen dan menawarkan minuman keras yang tidak sah cukai, di Seksyen 51 A, dekat sini.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, premis dipercayai beroperasi lebih kurang sebulan setengah tanpa lesen itu diserbu jam 2.30 pagi pada Sabtu, bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mengenal pasti elemen-elemen kesalahan mengikut garis panduan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Menurutnya, hasil pemeriksaan telah berjaya membuat tangkapan melibatkan lima individu iaitu seorang pemilik pusat hiburan, penjaga kaunter, pengurus serta dua orang pendatang asing tanpa izin (PATI) bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

"Tangkapan dibuat bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 dan Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) Negeri Selangor 1995," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Soffian berkata, pihaknya turut merampas tiga keping resit perniagaan, enam botol arak, sebuah controller jenama Poineer, mixer controller jenama Yamaha (satu), mikrofon jenama UHF (satu) serta pembesar suara (dua).

Menurut beliau, kebanyakan pengunjung pusat hiburan tersebut terdiri daripada warganegara Malaysia beragama Islam.

Katanya, kesemua tangkapan dan mangsa serta barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk tindakan lanjut.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Artikel Berkaitan: