[VIDEO] Kanak-kanak cedera, trauma diserang anjing liar

A
A
A

MELAKA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera didakwa diserang seekor anjing liar di Pangsapuri Taman Sutera Wangi, Batu Berendam, di sini pada Selasa.

Insiden yang menimpa Muhammad Noual Naufal Suhaimi turut tular di laman Facebook sehingga ramai yang melahirkan kebimbangan dengan keadaan itu.

Bapa kanak-kanak berkenaan, Suhaimi Jaapar, 36, berkata, insiden itu menyebabkan anak sulung daripada dua beradik tersebut mengalami luka di bahagian tangan kanan dan sedikit trauma.

Suhaimi menunjukkan keadaan luka di tangan anaknya semakin pulih selepas diserang anjing pada Selasa lalu.
Suhaimi menunjukkan keadaan luka di tangan anaknya semakin pulih selepas diserang anjing pada Selasa lalu.

"Mungkin luka yang dialami anak tidaklah seteruk mana, namun masih bimbang terutama pada waktu malam.

"Dulu bilangan binatang liar itu tak banyak, bagaimanapun sejak akhir-akhir ini semakin bertambah hingga menggusarkan hati penduduk terutama kanak-kanak yang bermain di taman permainan pada waktu petang," katanya ketika ditemui di pangsapuri itu, pada Sabtu.

Beliau berkata, masalah anjing liar telah lama berlaku di kawasan kediaman itu lebih-lebih lagi berhampiran dengan tanah perkuburan Cina.

Katanya, meskipun Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah beberapa kali membuat tangkapan dan meletakkan tiga perangkap, namun masalah anjing liar masih berlaku terutama sekitar jam 12 tengah malam dan 1 pagi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau turut berterima kasih kepada MPHTJ yang mengambil tindakan pantas meletakkan perangkap setelah aduan berhubung kejadian itu dibuat.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Fuad berkata, selain penduduk memberi makanan kepada haiwan itu, beliau juga mendakwa ada penghuni di kediaman berkenaan yang membela binatang itu dalam rumah.

"Mungkin itu antara faktor anjing-anjing liar berkumpul di kawasan ini sehingga mengancam penduduk," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPHTJ, Datin Sapiah Haron yang dihubungi berkata, operasi anjing terbiar di Pangsapuri Sutera Wangi dan kawasan sekitar telah dilaksanakan bermula 28 Februari lalu menggunakan tali loop dan jaring.

Menurutnya, selain itu pihaknya turut memasang perangkap di kawasan sekitar dan sehingga Jumaat, jumlah tangkapan anjing terbiar di sekitar kawasan itu sebanyak enam ekor.

"Malah pada malam tadi team Johnny MPHTJ ke lokasi untuk membuat tangkapan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!