Selangor teliti cadangan naik elaun ahli majlis PBT

Suee Lim semasa menjawab pertanyaan semasa sidang DUN Selangor pada Khamis.
Suee Lim semasa menjawab pertanyaan semasa sidang DUN Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Selangor akan meneliti kesesuaian cadangan menaikkan elaun ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan cadangan itu dikaji terlebih dahulu dan ia bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.

"Kita akan pertimbangkan cadangan ini untuk menaikkan elaun ahli majlis PBT dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze mengenai keperluan mengkaji semula elaun ahli majlis PBT Selangor pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Khamis.

Suee Lim memberitahu, buat masa ini, ahli majlis PBT menerima jumlah elaun bulanan sebanyak RM2,500 bagi PBT bertaraf bandar raya dan perbandaran, manakala RM2,000 bagi PBT bertaraf daerah.

Menurut beliau, jumlah itu merupakan kadar yang telah dipersetujui dan diselaraskan oleh kerajaan negeri melalui Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan Bilangan 1/2021 Garis Panduan Pengurusan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Ujar beliau, kali terakhir semakan semula kadar bayaran elaun ahli majlis PBT dibuat pada tahun 2017.

"Namun mengambil kira cabaran dan bebanan tugas ahli majlis dalam menyampaikan perkhidmatan kepada komuniti setempat (kenaikan elaun) merupakan salah satu faktor yang perlu dipertimbangkan.

Artikel Berkaitan:

"(Ahli majlis PBT) berdepan cabaran dan bebanan termasuklah melaksanakan tugasan di lapangan dan sentiasa bersama dalam menguruskan dan hal ehwal penduduk secara sepenuh masa," menurut Suee Lim.

Selain daripada itu, katanya, ahli majlis juga berdepan dengan kos saran hidup yang meningkat dan kenaikan kadar bayaran pada masa akan datang dapat membantu meringankan bebanan.

"Di Pulau Pinang telah melaksanakan kenaikan kadar baharu elaun bulanan ahli majlis daripada RM2,500 kepada RM4,000 pada Oktober tahun lalu.

"Oleh demikian, kerajaan negeri prihatin tapi kita akan pertimbangkan perkara ini," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dijangka mengutip sebanyak RM11.22 juta cukai taksiran kediaman kampung tradisi pada tahun ini.

Katanya, jumlah itu melibatkan 98,483 bilangan pegangan di seluruh negeri Selangor.

Menurut Suee Lim, PBT bersedia untuk memberi khidmat di kawasan kampung seperti baik pulih sistem saliran, fasiliti dan sebagainya.

"Kita akan mengenal pasti dengan jelas keadaan di tapak dan menentukan had sempadan kawasan kampung yang dikenakan cukai dengan kawasan yang masih tidak dikenakan cukai oleh PBT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Dengkil, Datuk Seri Jamil Salleh mengenai anggaran jumlah pendapat kerajaan setelah cukai pintu di kampung tradisi dilaksanakan pada tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai persediaan PBT, Suee Lim berkata, antara khidmat disediakan termasuklah menentukan dan menyediakan inventori dan maklumat berkaitan kemudahan infrastruktur asas seperti jalan, longkang dan lain-lain yang perlu disenggara oleh PBT dan jabatan serta agensi bertanggungjawab.

"Ini penting bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa selain terdapat pelaksanaan inisiatif tambahan oleh PBT melantik kontraktor panel tidak berjadual menggunakan peruntukan pembangunan tahunan bagi menyelesaikan aduan longkang rosak di kawasan kampung," jelas beliau.

Suee Lim memberitahu, PBT turut menyediakan perkhidmatan kutipan sisa domestik di kawasan kampung dengan kekerapan tiga kali seminggu dan kutipan sampah pukal dengan kekerapan dua kali seminggu.

"Selain itu juga, terdapat PBT yang membekalkan tong sampah MobileGarbage Bin (MGB) 120 Liter secara percuma di kawasan kampung," katanya.

Tambah Suee Lim, perkhidmatan lain antaranya menjalankan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan kampung secara tahunan berdasarkan pemantauan tapak dan aduan yang diterima.

"Kita turut menyediakan atau menaik taraf sistem saliran di kawasan kampung berdasarkan kawasan hotspot banjir dan juga merujuk kepada Pelan Induk Sistem Saliran yang dibangunkan oleh PBT," ulas beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!