MCW terkejut dengan pendedahan SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya (kanan) berbincang bersama Datuk Seri Azam Baki ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM semalam. - Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya (kanan) berbincang bersama Datuk Seri Azam Baki ketika sidang media berhubung pembocoran rahsia kerajaan dan konspirasi jenayah di peringkat tertinggi di Ibu Pejabat SPRM semalam. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) agak terkejut dengan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sembilan set rakaman audio didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, MCW menganggap pendedahan berkenaan di luar jangkaan dan tidak sepatutnya didedahkan secara terbuka.

"Adakah ini untuk membuktikan ketelusan kepada masyarakat secara publisiti bahawa SPRM sedang melaksanakan penyiasatan berkaitan salah guna kuasa yang berlaku dalam kerajaan lama.

"Sembilan set rakaman audio berdurasi 45 minit ini seharusnya dijadikan bahan bukti penting untuk mengukuhkan siasatan dakwaan penyelewengan kuasa dan wang dalam kes 1MDB (1Malaysia Development Berhad) serta SRC International Sdn Bhd yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak," katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Jais berkata, pendedahan audio yang disiarkan secara terbuka kepada pihak media itu boleh disifatkan sebagai subjudif ke atas kes yang sedang berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] SPRM bongkar audio konspirasi jenayah libatkan Najib, Rosmah

Menurutnya, apa yang MCW risaukan adakah audio ini masih dianggap sebagai bahan bukti eksklusif dan terlindung di bawah Akta keterangan 114(G).

"Pihak SPRM sepatutnya sedar bahawa 'trial by media' ini harus dielakkan.

Artikel Berkaitan:

"Secara teorinya, pendedahan bahan bukti ini boleh mengganggu proses pendakwaan dan keputusan yang akan dilakukan oleh pihak mahkamah kerana terdapat pelbagai isu serius yang berbangkit.

"Antaranya termasuk penyalahgunaan kuasa, konspirasi jenayah, menghalang keadilan, menjejaskan keselamatan negara, membuat bukti palsu menerusi bantuan luar serta membiarkan salah laku berterusan serta merosakkan kepercayaan awam," katanya.

Katanya, MCW bimbang wujud 'tangan-tangan ghaib' yang sedang cuba 'menangguk di air keruh' dan kelirukan rakyat dengan pendedahan kronologi tersebut.

"Justeru, dalam isu ini MCW mengharapkan pihak SPRM lebih teliti dan berhati-hati agar profesionaliti sebuah institusi penguatkuasaan yang disegani di negara ini tercemar," katanya.