TASKA: Ibu bapa perlu bijak buat pilihan

Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di TASKA berdaftar memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di TASKA berdaftar memberi tumpuan kepada aspek keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
A
A
A

Perubahan struktur serta fungsi sosial masyarakat hasil daripada perkembangan ekonomi yang kompleks pada hari ini telah menuntut penglibatan semua pihak dalam sektor guna tenaga.

Perkembangan ekonomi tersebut secara tidak langsungnya telah mempengaruhi struktur sosial masyarakat semasa. Malah, dalam konteks gender, golongan wanita dan lelaki telah bersama-sama memainkan peranan yang setara dalam pengurusan sesebuah keluarga.

Maka tidak hairanlah apabila di mana-mana sahaja khususnya di kawasan penempatan penduduk sama ada di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar, taman asuhan kanak-kanak atau lebih dikenali sebagai TASKA seolah-olah ‘tumbuh seperti cendawan’ yang menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada para ibu bapa.

Tidak dinafikan, TASKA merupakan alternatif penjagaan kanak-kanak yang dapat memberi peluang kepada ibu bapa memberi tumpuan melaksanakan tugas di tempat kerja.

Di samping persekitaran yang kondusif, kanak-kanak yang menghadiri TASKA dapat berinteraksi dengan rakan sebaya selain dapat membina kemahiran sosial yang amat membantu perkembangan mereka dengan lebih menyeluruh.

Pemilihan TASKA

Ibu bapa perlu membuat penilaian sewajarnya sebelum dalam memilih TASKA bagi memastikan fasiliti dan kemudahan yang disediakan adalah berkualiti untuk anak-anak mereka.
Ibu bapa perlu membuat penilaian sewajarnya sebelum dalam memilih TASKA bagi memastikan fasiliti dan kemudahan yang disediakan adalah berkualiti untuk anak-anak mereka.



Bagaimanapun, dalam memastikan anak-anak mendapat penjagaan serta asuhan yang baik, pemilihan TASKA amatlah penting, dan ibu bapa harus mempunyai kefahaman yang jelas mengenai perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, ada TASKA yang berdaftar dan ada pula yang tidak. Namun, adalah paling baik sekiranya ibu bapa memilih TASKA yang berdaftar bagi memastikan anak-anak mereka dijamin dari segi keselamatan serta perkembangan yang menyeluruh.

Dari segi perundangan, Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308) digubal untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas TASKA dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

Ditakrifkan sebagai TASKA, Seksyen 2, Akta 308 menetapkan mana-mana premis yang empat orang atau lebih kanak-kanak di bawah umur empat tahun dari lebih daripada satu isi rumah diterima masuk untuk dijaga dengan upah.

Malah, akta itu turut mengkategorikan TASKA berdaftar kepada empat jenis iaitu TASKA Di Rumah, TASKA Tempat Kerja, TASKA Institusi dan TASKA Komuniti.

Kepentingan TASKA berdaftar

Ibu bapa perlu mementingkan perkembangan dan kualiti asuhan anak-anak mereka yang mana TASKA yang berkualiti akan menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam kemahiran kognitif.

Justeru, TASKA berdaftar merupakan alternatif asuhan dan jagaan terbaik bagi ibu bapa bekerja kerana TASKA ini perlu mematuhi standard minimum yang telah ditetapkan oleh Akta 308 dan Peraturan-Peraturan Taman Asuhan Kanak-Kanak 2012.

Malah, JKM telah mewajibkan penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) di TASKA berdaftar sekali gus memberi ketenangan minda kepada ibu bapa ini bahawa anak mereka berada dalam keadaan selamat.

Pada masa sama, JKM turut mengeluarkan Garis Panduan Keselamatan Kanak-Kanak di TASKA berdaftar berkuatkuasa 1 Januari 2024 susulan daripada kes-kes yang berlaku sebelum ini antaranya seperti anak-anak tertinggal di dalam kenderaan, kemalangan dan sebagainya.

Menurut Ketua Pengarah JKM, Norazman Othman, Garis Panduan Keselamaan Kanak-Kanak merupakan pendekatan komunikasi penting yang melibatkan peranan bersama di antara pengusaha, pengasuh dan ibu bapa.

NORAZMAN
NORAZMAN

“Sebagai contoh, sekiranya pengusaha atau pengasuh mendapati ada kanak-kanak yang tidak hadir ke TASKA tanpa pemberitahuan awal, mereka perlu menghubungi ibu bapa dalam tempoh 30 minit dari waktu kehadiran untuk mengetahui keberadaan kanak-kanak terbabit.

“Malah, pengusaha dan pengasuh TASKA perlu merekod komunikasi tersebut dalam buku log harian kanak-kanak berkenaan,” jelas Norazman.

Selain itu, garis panduan tersebut turut memberi perhatian terhadap keperluan para pengusaha pengurus, penyelia atau pengasuh TASKA dengan kemahiran pertolongan cemas dan resusitasi kardiopulmonari (CPR) sebagai intervensi awal jika berlaku sebarang insiden kecemasan ke atas kanak-kanak.

Limitasi

Namun begitu, terdapat limitasi pelaksanaan garis panduan tersebut kerana TASKA yang tidak berdaftar sudah pastinya tidak akan melaksanakannya.

Berbanding dengan TASKA berdaftar, JKM sentiasa membuat pemeriksaan secara berkala atau pemeriksaan mengejut bagi memastikan memastikan pengoperasian TASKA sentiasa mematuhi kehendak Akta 308 sekali gus memantau persekitaran keselamatan dan kebajikan kanak-kanak.

TASKA perlu mempunyai kemudahan yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak.
TASKA perlu mempunyai kemudahan yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan kanak-kanak.

Kesimpulannya, memilih TASKA berdaftar merupakan alternatif jagaan terbaik untuk ibu bapa yang bekerja.

Ibu bapa hendaklah menilai sewajarnya sebelum membuat pemilihan TASKA bagi memastikan fasiliti dan kemudahan yang disediakan adalah berkualiti demi anak-anak mereka.

Info:

Standard Minimum TASKA Berdaftar:

1. Nisbah pengasuh dengan kanak-kanak mencukupi.

- Seorang pengasuh bagi tiga orang Kanak-kanak berumur kurang setahun (1:3).

- Seorang pengasuh bagi lima kanak-kanak berusia 1 hingga 3 tahun (1:5).

- Seorang pengasuh bagi 10 kanak-kanak berusia 3 hingga 4 tahun (1:10).

- Nisbah ini juga berbeza bagi pengasuh yang menjaga kanak-kanak golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

2. Mematuhi nisbah kanak-kanak dengan ruang lantai.

- Ruang lantai 2.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA Rumah.

- Ruang lantai 3.5 meter persegi bagi seorang kanak-kanak di TASKA Institusi, TASKA Tempat Kerja dan TASKA Komuniti.

3. Pengusaha, pengurus, penyelia dan pengasuh TASKA terlatih dan mempunyai kemahiran dalam asuhan berkualiti kepada kanak-kanak.

- Pengurus, penyelia, pengasuh hendaklah lulus Kursus Asas Asuhan Kanak-Kanak (KAAK) atau Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata (KAP) yang diiktiraf JKM.

4. Pengasuh warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas.

5. Menyedia dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang.

6. Menyedia dan mempamerkan jadual aktiviti harian mengikut peringkat umur kanak-kanak.

7. TASKA mempunyai kemudahan peralatan dan perabot yang sesuai, selamat dan mencukupi untuk keperluan kanak-kanak.

8. Menyedia dan menyelenggara rekod-rekod seperti rekod kanak-kanak pengasuh di TASKA.

9. Menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis TASKA.

10. Mendapat sokongan dan kelulusan dari Agensi Teknikal seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kesihatan.