MOF digesa perjelas SST terhadap perkhidmatan logistik - Radzi

Radzi Md Jidin
Radzi Md Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menggesa Kementerian Kewangan untuk memberi penjelasan segera mengenai sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus yang dikenakan kepada komponen perkhidmatan iaitu logistik.

Beliau berkata, berdasarkan pemahamannya SST yang dikenakan terhadap perkhidmatan logistik akan memberi kesan kepada beberapa segmen dalam rantaian bekalan tersebut.

“Saya ambil contoh, kilang A merupakan pengilang untuk satu produk. Jadi untuk mengeluarkan produk ini, ada pelbagai keperluan barang mentah dan salah satu ini, diimport dari luar negara maka dalam proses mengimport barangan ini akan terlibat komponen logistik (dikenakan SST enam peratus).

“Kemudian pengilang nak hantar kepada pemborong, penghantaran tersebut akan melibatkan SST enam peratus. Seterusnya, pemborong pula simpan barang dan menggunakan khidmat penggudangan akan dikenakan SST sebanyak enam peratus.

“Pemborong ini kemudian akan menghantar kepada peruncit, akan terdapat kos logistik penghantaran dan akan dikenakan SST sebanyak enam peratus,” katanya menerusi satu hantaran video di laman sosial, TikTok pada Khamis.

Tambah beliau, SST turut akan dikenakan sekiranya peruncit menggunakan khidmat penghantaran kepada pengguna.

Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan peningkatan kadar SST itu tidak melibatkan perkhidmatan yang menjadi keperluan asas serta menjadi sebahagian daripada gaya hidup rakyat di negara ini.

Beliau berkata, bagi perkhidmatan yang banyak digunakan oleh rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi dan parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ia termasuk perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Jelas Mohd Radzi, rakyat perlu tahu kesan kenaikan SST termasuk kenaikan dalam konteks skop perkhidmatan logistik kepada kenaikan harga barang secara keseluruhan.

“Sekiranya penjelasan tadi kurang tepat maka saya mohon pihak Kementerian Kewangan membuat penerangan yang lebih jelas.

“Apa yang saya jelaskan tadi hanyalah melibatkan satu skop perkhidmatan iaitu logistik dan kita tahu dalam konteks rantai bekalan ini terdapat banyak lagi skop perkhidmatan yang berkaitan,” ujarnya.